Calon PN DUN Paginatan dapat sokongan pemimpin PBS

Ketua Bahagian PBS Paginatan, Dr Othman Minudin (tiga dari kanan) menyokong calon PN daripada STAR, Datuk Abidin Madingkir (kiri) untuk mempertahankan kerusi DUN Paginatan.
Ketua Bahagian PBS Paginatan, Dr Othman Minudin (tiga dari kanan) menyokong calon PN daripada STAR, Datuk Abidin Madingkir (kiri) untuk mempertahankan kerusi DUN Paginatan.
A
A
A

RANAU - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir menerima sokongan pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) bahagian itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

PBS Bahagian Paginatan yang diketuai Datuk Dr Othman Minudin bersama ahli jawatankuasa PBS dan ketua-ketua cawangan bahagian itu menyatakan sokongan kepada Abidin yang mewakili Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Abidin menerima sokongan kepemimpinan PBS bahagian itu dalam satu majlis di Paginatan, Ranau semalam.

Majlis itu diadakan sehari selepas Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan PBS yang melanggar perjanjian mengelak pertembungan pada PRN kali ini.

Dr Jeffrey Kitingan yang juga calon PN bagi DUN Tambunan mengalu-alukan kehadiran dan sokongan mereka terhadap Abidin.

DUN Paginatan adalah antara kerusi yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara calon PN dan parti sekutunya, khususnya di antara PBS dan STAR.

PN melalui STAR mempertaruhkan Abidin sebagai calon bagi mempertahankan kerusi itu yang dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

PBS pula meletakkan Ahli Majlis Tertingginya, Arthur Sen dalam persaingan sembilan penjuru termasuk dengan satu lagi calon rakan PN iaitu BN, Junaidi Sahat daripada UMNO.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Dr Othman ada mengeluarkan kenyataan meminta agar kerusi DUN Paginatan diserahkan kepada PBS berdasarkan permintaan ahli parti itu selepas STAR mengumumkan akan mencalonkan semula Abidin.

Terdahulu, Abidin menyifatkan sokongan Dr Othman kepadanya akan mengukuhkan lagi kedudukan STAR di Paginatan.

"Dengan kemasukan ini, STAR akan menjadi lebih mantap dan kami akan usahakan yang sebaiknya dalam pilihan raya kali ini.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada mereka kerana memberikan kepercayaan dan sokongan yang padu," katanya.