X

Kindly register in order to view this article
!

Muktamar Pas lulus lapan usul

Muktamar Pas ke-66 hari ini meluluskan lapan usul untuk kebaikan semua pihak termasuk negara dan agama.
A
A

KOTA BHARU - Muktamar Pas ke-66 hari ini meluluskan lapan usul untuk kebaikan semua pihak termasuk negara dan agama yang membabitkan isu normalisasi hubungan diplomatik Emiriah Arab Bersatu dan Liga Arab dengan Israel.

Usul isu diplomatik berkenaan dibacakan Ketua Dewan Ulamak Pas, Muhammad Najhan Shahir Abdul Halim yang disokong sebulat suara.

Berkaitan usul pertama yang dibahas, Dewan Ulamak Pas Pusat mendesak supaya umat Islam dan kerajaan-kerajaan dunia Islam membantah dan mengecam pengiktirafan Baitul Maqdis sebagai ibu kota negara haram Israel.

Selain itu, bantahan juga membabitkan sebarang bentuk normalisasi hubungan diplomatik dengan negara haram Israel bagi mengekang peluasan kuasa politik dan penjajahannya ke atas Palestin.

Mereka juga mendesak supaya kerajaan Malaysia mengkaji 'two state solution' dalam hubungan luar kerajaan Malaysia terhadap isu Palestin dengan memberi penekanan terhadap sejarah dan nilai agama untuk kepentingan Palestin dan rakyatnya dengan solusi yang adil.

Usul kedua pula yang diluluskan ialah daripada Dewan Muslimat Pas Pusat yang mahu pihak berkuasa kerajaan negeri dan Persekutuan bertindak serius membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen yang semakin berleluasa terutama di pekan-pekan kecil, kawasan Felda dan kampung.

Usul yang dikemukakan wakil Muslimat, Asmak Hussin itu disifatkan amat penting bagi mengurangkan kegiatan perjudian berlesen sebagai satu komitmen ke arah menghapuskan sepenuhnya industri judi dalam negara.

Pentas utama yang mengumpulkan semua kepimpinan tertinggi Pas dalam muktamar kali ini.
Pentas utama yang mengumpulkan semua kepimpinan tertinggi Pas dalam muktamar kali ini.

Sementara itu, enam usul lain turut dikemukakan dan diluluskan tanpa bahas antaranya Pas Kawasan Titiwangsa yang mencadangkan Kerajaan Perikatan Nasional perlu mengambil tindakan tegas terhadap penghinaan Rukun Negara dan lambang negara.

Selain itu, Pas Kawasan Pasir Puteh pula mengusulkan Kerajaan PN terus dipertahankan dan Muafakat Nasional hendaklah diperkukuhkan.

Pas Kawasan Pasir Puteh juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh petugas barisan hadapan atas kejayaan mengawal pandemik koronavirus (Covid-19) sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya dan terbaik di dunia.

Seterusnya, Dewan Muslimat Pas Pusat mengusulkan kelonggaran menggunakan akaun 1-KWSP untuk ibadah haji.

Mereka mengusulkan supaya pihak KWSP di bawah Kementerian Kewangan memberikan kelonggaran kepada pencarum untuk menggunakan kewangan dari akaun 1 bagi tujuan mengerjakan ibadah haji terutama buat kali pertama.

Pas Kawasan Padang Rengas pula mengusulkan mengenai pendidikan yang menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memulakan inisiatif bagi mewujudkan Wakaf Pendidikan Tinggi Nasional.

Usul seterusnya, Pas Kawasan Balik Pulau juga mengesyorkan mengenai pendidikan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menjadikan mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai subjek wajib dalam peperiksaan PPR bagi murid Islam.

Dewan Pemuda Pas Malaysia pula membawa dua usul yang diterima tanpa bahas iaitu, usul pertama ialah mengesyorkan diwujudkan polisi, garis panduan dan tatacara kewangan pengurusan dana politik yang selari dengan dasar Islam, undang-undang negara dan tidak merugikan perjuangan Pas diwujudkan.

Usul kedua pula ialah untuk memperkasakan Muafakat Nasional dengan mengesyorkan supaya memastikan Pas mendapat minima 50 kerusi berpotensi dan meletakkan 20 peratus daripada jumlah kerusi ini adalah daripada calon anak muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Pas lulus dua usul


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!