Selangor tidak kompromi isu pencemaran Sungai Gong

Datuk Seri Amirudin Shari - Foto Bernama
Datuk Seri Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengulangi tindakannya yang tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan melibatkan pencemaran alam sekitar di negeri ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selaras dengan kenyataannya yang dikeluarkan pada 4 September lalu, pihaknya juga tidak akan berkompromi berkaitan insiden pencemaran di Sungai Gong.

"Individu-individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pencemaran Sungai Gong ini akan diheret ke muka pengadilan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan beberapa individu yang terlibat dengan kilang yang disyaki menjadi punca kepada pencemaran bagi tujuan siasatan," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya semalam.

Beliau berkata, pada 7 September lalu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menampal notis roboh di bawah Seksyen 70 (1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang memberi tempoh selama tiga hari untuk membuktikan kebenaran bertulis membina bangunan kepada pemilik kilang terbabit.

"Selepas tempoh tersebut, premis berkenaan akan dirobohkan serta-merta sekiranya tiada pembuktian.

"Demi rakyat, kerajaan negeri akan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan sebegini yang telah membebankan kehidupan rakyat dan menjejaskan alam sekitar," katanya.

Terdahulu, beberapa kawasan berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan daripada insiden pencemaran bau yang berlaku di Sungai Gong.

Artikel Berkaitan:

Susulan insiden itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menerima menghadap Amirudin dan menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat negeri akibat pencemaran sungai itu.