KKM teliti kuarantin wajib individu pulang PRN Sabah

Dr Adham (dua dari kanan) mencuba peralatan senaman kayuhan ketika membuat lawatan di klinik senaman pada Majlis Pelancaran Wellness Hub Bagan Pinang, Port Dickson hari ini. -Foto Bernama
Dr Adham (dua dari kanan) mencuba peralatan senaman kayuhan ketika membuat lawatan di klinik senaman pada Majlis Pelancaran Wellness Hub Bagan Pinang, Port Dickson hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

“Sekarang ini belum ada keputusan (untuk kuarantin wajib).

“Kita akan buat kajian risiko setiap hari dan akan dibincangkan di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Covid-19 juga bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Wellness Hub Bagan Pinang, Port Dickson, di sini hari ini.

Sabah yang sedang mengadakan PRN itu turut merekodkan peningkatan kes Covid-19 khususnya melalui Kluster Benteng Lahad Datu.

Semalam, kes baharu wabak itu kembali melonjak ke tiga angka dengan 182 kes yang melibatkan 181 penularan tempatan dan satu kes import, iaitu tertinggi setakat ini dalam tempoh beberapa bulan selepas mencatatkan 100 kes pada Selasa lepas.

Kes Covid-19 di Sabah yang membabitkan Kluster Benteng LD merekodkan 250 kes dengan 167 kes baharu direkodkan setakat semalam.

Mengenai PRN Sabah, Dr Adham berkata, pihaknya akan mengguna pakai garis panduan pencegahan Covid-19 yang digunakan pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang dan PRK DUN Slim, Perak.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah manakala hari mengundi awal pada 22 September dengan pencalonan selesai hari ini.

Sementara itu, Dr Adham berkata, tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan semula sekatan perjalanan antara negeri-negeri setakat ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran yang dilakukan di beberapa kawasan berjaya membendung penularan lebih besar.

“Kita lihat trend Covid-19 berlaku di beberapa tempat sahaja. Kes tidak menyeluruh seperti peringkat awal, misalnya di Kota Setar dan Amanjaya di Kedah kita buat PKPD pentadbiran, dan kita berjaya bendungnya. Ia juga untuk memastikan kita dapat saring kira-kira 15,000 orang di daerah Kota Setar,” katanya.

Mengenai Wellness Hub, Dr Adham berkata, fasiliti itu adalah pusat sehenti yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan promosi kesihatan kepada komuniti setempat, iaitu antara hala tuju baharu KKM di bawah pelan ‘Tawaran Baharu KKM’.

Sehingga kini, KKM telah mewujudkan 28 Wellness Hub di seluruh negara dengan kos hampir RM500,000 setiap satu. - Bernama