Kerjasama Umno-Pas bukan perang saraf perkauman

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

ALOR SETAR - Tidak wujud elemen perang saraf membabitkan sentimen perkauman dimainkan Umno mahupun Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, seperti didakwa sesetengah pihak.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaliknya kemenangan BN adalah petanda sokongan kepada parti itu masih utuh walaupun kecundang pada PRU14.

Menurutnya, kemenangan itu juga merupakan harapan rakyat yang diterjemah menerusi undian.

“Saya yakin peningkatan sokongan kepada BN seperti yang diterjemahkan di Cameron Highlands adalah atas kesedaran sebahagian besar masyarakat Melayu, Bumiputera dan umat Islam untuk terus pertahankan hak mereka tanpa mengetepikan kepentingan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Mahdzir turut menempelak pihak yang membuat tuduhan itu, bahawa mereka yang prejudis dengan kebersamaan Umno-Pas barangkali beranggapan kerjasama ini adalah satu bentuk perang saraf.

Pusat penyelidikan kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) dalam laporan analisisnya semalam melaporkan, strategi perang saraf Pas dan Umno dengan memainkan sentimen Melayu diibaratkan sebagai suatu barah.

Menurut laporan IDE, sejak 9 Mei 2018, kedua-dua parti itu cuba menanamkan perasaan takut kalangan orang Melayu bahawa mereka tidak lagi menguasai negara ini, manakala pada pasca PRU14 kedua-dua parti itu berusaha menimbulkan keresahan kalangan orang Melayu bahawa negara ini bukan ditadbir oleh orang Melayu lagi.

Laporan itu turut menyebut, berdasarkan keputusan PRK Cameron Highlands, ternyata pengundi termakan dengan ayat-ayat terbabit. Malah, dakwa laporan itu, perang saraf ini ibarat kanser dan jika tidak dibendung akan merebak kepada orang Melayu di kawasan pinggir bandar dan bandar.

Artikel Berkaitan: