Muktamar Pas: PRU15, PRN Sabah, prestasi Kabinet jadi tumpuan

Dewan utama di PUTIK, Pengkalan Chepa bakal digemakan dengan pelbagai usul yang akan dibahaskan.
Dewan utama di PUTIK, Pengkalan Chepa bakal digemakan dengan pelbagai usul yang akan dibahaskan.
A
A
A

KOTA BHARU - Isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan prestasi pemimpin Pas dalam kabinet kerajaan Persekutuan dijangka akan menjadi perbahasan utama perwakilan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-66 yang akan diadakan, Ahad ini.

Selain itu, topik yang dijangka dibangkitkan dalam muktamar sehari itu ialah sejauh mana Pas yang kini bersama-sama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi hati rakyat sehingga PRU15.

Ini kerana mengambil kira kemungkinan muktamar ini adalah kali terakhir diadakan sebelum PRU15 yang bakal melakar sejarah tersendiri apabila berlangsung ketika genap setahun usia Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai Pas dengan UMNO pada 14 Sept tahun lalu.

Menariknya, muktamar yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, berlangsung ketika Pas kini bersama UMNO/Barisan Nasional dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, bersatu sebagai sebuah gabungan dan bersama-sama membentuk kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kali terakhir Pas berada dalam Kerajaan Persekutuan ialah pada 1977 dan pastinya muktamar kali ini dijadikan platform terbaik bagi perwakilan untuk berbahas mengenai kerjasama politik yang baru dijalinkan itu.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata selain itu perwakilan dijangka membangkitkan mengenai kerjasama parti itu dan UMNO dalam konteks PRN Sabah.

"Mereka sudah pasti membangkitkan kenapa UMNO Sabah dan Pas negeri tidak bersama-sama dalam konteks kerjasama sebenar bagi meletakkan kerusi untuk ditandingi dan saling membantu ketika ini," katanya kepada Bernama.

Selain itu katanya perwakilan juga mahu melihat keupayaan dan prestasi pemimpin Pas sepanjang menganggotai barisan jemaah menteri dan memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Artikel Berkaitan:

Penggerak Dewan Muslimat Pas seluruh negara yang hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali ke-60 malam tadi.
Penggerak Dewan Muslimat Pas seluruh negara yang hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali ke-60 malam tadi.

“Sudah pasti akan kedengaran kritikan membina daripada perwakilan mengenai perkara-perkara yang perlu diperkemaskan sekali gus menyaksikan kedudukan mereka memegang jawatan dalam GLC dan agensi-agensi kerajaan itu dapat menonjolkan imej Islam," katanya.

Pada Ahad ini, muktamar juga akan memberi tumpuan kepada Ucapan Dasar Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan membangkitkan perkara tersebut kepada seluruh akar umbi dan akan disiarkan secara langsung secara dalam talian.

Berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih melanda negara, muktamar itu hanya akan dihadiri kira-kira 400 perwakilan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini dipetik sebagai berkata perwakilan hanya terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa Pas Pusat, wakil-wakil dewan termasuk Dewan Himpunan Penyokong Pas dan Yang Dipertua Pas dari setiap kawasan.

Selain itu, wakil empat pimpinan Pas setiap kawasan di Kelantan sebagai tuan rumah muktamar kali ini hadir manakala perwakilan Pas kawasan-kawasan lain akan mengikuti muktamar tersebut secara dalam talian di pejabat perhubungan Pas setiap negeri.

Setiap kerusi telah dilabelkan untuk memudahkan perwakilan yang hadir.
Setiap kerusi telah dilabelkan untuk memudahkan perwakilan yang hadir.

Takiyudin yang juga Yang Dipertua Pas Kota Bharu berkata, Pejabat Pendaftar Pertubuhan meluluskan diadakan muktamar dengan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Dewan Muslimat Pas akan membuka tirai muktamarnya yang ke-60 dan akan bersidang selama dua hari bermula malam ini di Kuala Lumpur dan akan dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Senator Nuridah Mohd Salleh dan berakhir esok.

Sementara itu, Dewan Pemuda Pas akan mengadakan muktamarnya di Putik di sini, esok manakala Dewan Ulama Pas akan mengadakan muktamarnya di Markas Dewan Ulama (MADU) di Labok, Machang. - Bernama