Jamawi akur tidak dicalon semula di Kemabong

Jamawi Jaafar
Jamawi Jaafar
A
A
A

KOTA KINABALU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Jamawi Jaafar mengakui sedih selepas tidak dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Beliau juga sedar bahawa ramai penyokongnya di Kemabong kecewa apabila namanya tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Kemabong.

Bagaimanapun Jamawi berkata, beliau terpaksa akur dengan keputusan berkaitan pencalonan termasuk dipindahkan sebagai calon di kerusi DUN Melalap.

"Sudah pasti ramai pengundi di Kemabong sedih dan kecewa dengan berita ini terutama membabitkan pencalonan saya di DUN Melalap, pelbagai persepsi timbul.

"Dari hati yang ikhlas, saya amat sayangkan masyarakat Kemabong. Banyak telah ditempuhi bersama sepanjang 27 bulan ini, banyak juga telah kita berjaya laksanakan, membawa nama Kemabong ke persada dunia dengan tagline 'Kemabong Onsoi'," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Jamawi turut berkata, terdapat banyak lagi perancangan yang belum selesai akan dilaksanakan di Kemabong.

Terdahulu, nama Jamawi tidak disebut dalam pengumuman calon UMNO semalam namun ketika dihubungi Sinar Harian lewat petang semalam, beliau mengesahkan terdapat pertambahan kerusi iaitu DUN Melalap menjadikan kerusi BN daripada UMNO ialah 32 Berbanding 31 yang diumumkan semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tanding 31 kerusi PRN Sabah

Artikel Berkaitan:

Jamawi berkata, beliau menghormati keputusan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Tenom untuk memberi laluan kepada Ketua Bahagian, Datuk Raimi Unggi bertanding di Kemabong.

"Saya memohon maaf, ramai yang menghubungi saya menyatakan kekecewaan. Sangat sebak dan sedih membaca luahan hati dan perasaan anda semua. Maaf juga tidak dapat membalas satu persatu mesej yang dikirimkan.

"Apapun inilah politik, tiada yang kekal. Insya-ALLAH, saya tidak akan berhenti membantu masyarakat Kemabong walau di manapun saya berada. Saya sangat sayangkan masyarakat Kemabong, saya sangat rindu kamu semua," katanya.

Dalam pada itu, Jamawi turut meminta saudara-mara, sahabat, kenalan dan rakan di DUN Melalap untuk bersama membantu beliau dan memilihnya pada PRN akan datang.

"Saya juga amat mengharapkan anda semua memberikan sokongan dan undi kepada sahabat saya Datuk Raimi Unggi, calon BN di Kemabong pada 26 September ini," katanya.

Beliau juga yakin dapat melakukan sesuatu yang lebih baik untuk DUN Melalap jika dipilih mewakili kawasan itu.

Jika keputusan mencalonkan Jamawi kekal, ini bermakna beliau akan bersaing dengan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Radin Maleh sebagai rakan Perikatan Nasional (PN) menentang parti lawan.

Jamawi antara wakil rakyat UMNO yang meninggalkan parti untuk menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebelum keluar dan menyokong cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengambil alih kerajaan negeri pada akhir Julai lalu.