PRN Sabah: Pas beri laluan demi muafakat

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu diambil demi memelihara permuafakatan yang terjalin selain mengambil kira implikasi politik pada masa akan datang.

"Pas menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi dalam PRN Sabah, setelah usaha rundingan dimuktamadkan.

"Dalam hal ini, kita mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah, demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik di masa mendatang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keutamaan Pas kini adalah persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka dalam masa terdekat selain komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional dan PN.

Bagaimanapun katanya, sokongan jentera dan ahli-ahli Pas dalam PRN Sabah tetap akan digerakkan mengikut keperluan di peringkat setempat.

Hari ini, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengakui Pas berasa sedih parti itu tidak diberikan laluan bertanding pada PRN Sabah namun sama ada diberikan kerusi atau tidak, Pas tetap bertanding.

Beliau berkata, ini kerana calon-calon dihantar UMNO, Parti Pribumi Bersatu Sabah (Bersatu) dan rakan lain atas nama maslahah ummah sebenarnya turut mewakili Pas.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas berhasrat bertanding 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabah dan berharap tiada pertembungan tiga penjuru.

Katanya, Pas sebagai parti yang sudah lama bertapak di Sabah tidak mahu ketinggalan mengambil bahagian di dalam pilihanraya Parlimen ataupun DUN.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Diberi kerusi atau tidak, Pas tetap bertanding'

Pas hasrat tanding 10 kerusi PRN Sabah