Rumah pusaka berusia lebih 80 tahun terbakar

Keadaan rumah pusaka berusia 80 tahun yang musnah dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Awang, Kuala Terengganu pagi tadi.
Keadaan rumah pusaka berusia 80 tahun yang musnah dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Awang, Kuala Terengganu pagi tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia lebih 80 tahun didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Awang, di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu turut melibatkan dua buah rumah jiran mereka yang terletak hanya dua meter di antara satu sama lain.

kebakaran disedari salah seorang penghuni rumah, Mohd Zaki Sifie@ Shafie, 28, yang terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising kayu yang sedang jatuh dan terhidu bau hangit beberapa minit kemudian.

"Mensyaki ada sesuatu yang tidak kena, saya terus keluar dari bilik sebelum ternampak api yang sedang marak di ruang tamu rumah.

"Saya terus berlari memanggil ayah dan abang yang berniaga di kedai makan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.

Mohd Zaki Sifie@ Shafie
Mohd Zaki Sifie@ Shafie

Beliau berkata, dia yakin kebakaran itu berpunca dari ruang dapur rumah sebelum merebak ke ruang tamu.

Bapanya, Sifie @ shafie Mohd@ Sulong, 74, berkata, sebelum keluar berniaga, memang dia ada menggoreng keropok di dapur tetapi yakin sudah menutup api dapur gas tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tak tutup, pasti saya akan berasa was-was ketika di kedai kerana sebelum ini memang pernah berlaku sedemikian tetapi tidak lama kemudian saya pasti akan ingat semula dan terus balik menutupnya," katanya.

Sifie @ shafie Mohd@ Sulong
Sifie @ shafie Mohd@ Sulong

Bapa kepada dua anak itu berkata, buat masa terdekat ini, mereka terpaksa menumpang di rumah saudara yang tinggal berhampiran.

Kejadian itu melibatkan kerugian hampir RM100,000 termasuk wang tunai RM20,000 hasil niaga, barang kemas dan dua buah motosikal yang hangus terbakar.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan 2 Bomba Muhammad Basri Kamarazaman berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 7.39 pagi dan tiba di lokasi kira-kira sepuluh minit kemudian.

Keadaan dua buah rumah jiran yang turut terbakar dalam kejadian di Kampung Losong Haji Awang, Kuala Terengganu pagi tadi.
Keadaan dua buah rumah jiran yang turut terbakar dalam kejadian di Kampung Losong Haji Awang, Kuala Terengganu pagi tadi.

Katanya, sebanyak empat buah jentera dari Balai Bomba Kuala Terengganu dan Jalan Kota dengan kekuatan seramai 44 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi.

"Ketika tiba, didapati rumah pertama sudah terbakar 100 peratus manakala rumah kedua 50 peratus dan rumah ketiga sebanyak 10 peratus serta tiga buah motosikal hangus sepenuhnya.

"Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah lain kira-kira 10 minit kemudian iaitu jam 7.58 pagi," katanya.

Jelasnya lagi, punca kejadian dan kerugian keseluruhan masih dalam siasatan.