Hujan lebat, longkang gagal tampung air punca banjir kilat

Antara mangsa yang dipindahkan akibat kejadian banjir kilat di sekitar ibu negara petang semalam.
Antara mangsa yang dipindahkan akibat kejadian banjir kilat di sekitar ibu negara petang semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hujan lebat lebih 20 minit yang menyebabkan air longkang melimpah ke jalan dan bertakung menjadi punca banjir kilat di Jalan Kampung Pandan, di sini petang semalam.

DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan longkang sedia ada didapati tidak dapat menampung jumlah air yang banyak akibat hujan lebat bermula jam 1.40 petang.

Menurut kenyataan itu, turut ditenggelami air Jalan Maharajalela dan Jalan Tun Razak berhadapan Perpustakaan Negara.

Selain banjir kilat, DBKL turut menerima laporan kejadian pokok tumbang di sembilan lokasi sekitar Wangsa Maju, Bukit Petaling, Sentul dan Seputeh.

"Bilik gerakan di Jabatan Penguatkuasaan DBKL dibuka susulan kejadian banjir kilat yang melanda sekitar ibu negara.

"Skuad DBKL akan bertugas sepanjang masa dan kakitangan di jabatan DBKL diarahkan untuk membantu membersihkan kawasan, memotong pokok yang tumbang dan memantau kerja-kerja lain dari masa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, DBKL dalam proses memindahkan mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu dari segi makanan dan keperluan lain. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga ada di lokasi terjejas bagi memberikan bantuan," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan sebanyak 101 keluarga melibatkan 412 mangsa termasuk lima bayi terjejas akibat banjir kilat di Kampong Bharu.

Dalam kejadian itu air dilaporkan naik di Kampung Periuk, Jalan Raja Alang, Jalan Raja Bot, Jalan Mahadi dan Jalan Raja Ali.

ARTIKEL BERKAITAN: Lembah Klang dilanda banjir kilat

Bomba selamatkan 15 mangsa banjir kilat

Terdahulu,Sinar Harian melaporkan hujan yang bermula sejak tengah hari menyebabkan beberapa kawasan di pusat bandar serta sekitar Lembah Klang dinaiki air.

Limpahan Sungai Klang menyebabkan sekitar Masjid Jamek termasuk stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek serta hadapan Bank Muamalat Jalan Melaka yang terletak di tepi sungai itu menjadi 'pulau' dengan beberapa kenderaan termasuk motosikal ditenggelami air.

Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di kawasan lain antaranya Jalan Genting Klang apabila laluan utama itu dinaiki air dan terdapat kenderaan terperangkap susulan paras air dianggarkan 0.4 meter.

Lebuhraya SMART pula terpaksa ditutup kepada lalu lintas bagi membolehkan pengaktifan sistem banjir dan disusuli dengan pelepasan air banjir ke dalam sistem takungan Terowong SMART.