Bosskur juara sulung Piala Todak

Pasukan Bosskurr bergambar bersama piala dan replika cek bernilai RM50,000 selepas menjuarai Kejohanan Todak Cup Mobile Legends sempena Festival Komuniti E-Sport Terbesar Malaysia Todak Fest di Pusat Pameran Midvalley, semalam. - Foto Bernama
Pasukan Bosskurr bergambar bersama piala dan replika cek bernilai RM50,000 selepas menjuarai Kejohanan Todak Cup Mobile Legends sempena Festival Komuniti E-Sport Terbesar Malaysia Todak Fest di Pusat Pameran Midvalley, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

BOSSKUR menjuarai edisi sulung saingan Mobile Legends Todak Fest dengan menewaskan Mysterious Assassins (MyA) dalam masa 11 minit pada final di Midvalley Exhibition Centre, semalam.

Menerusi kejayaan itu, pasukan tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Saiyan yang terdiri daripada Faris Zakaria, Abdul Wandi, Andi Alfian, Herwin Baharuddin, Sopian Sultan dan Ahmad Fuad Razali membawa pulang Piala Todak, hadiah RM50,000, trofi dan pingat.

Pasukan MyA yang terdiri daripada Fakri Fathurahman Fahrizal, Muhamad Hazim Zulkifli, Muhamad Azim Suhaimi, Zaidi Asli dan Farid Fakhrullah Fahrizal menerima hadiah wang tunai RM26,000 dan pingat.

"Kami tak sangka menang kerana kejohanan ini sangat mencabar sebab menggunakan format best of one berbanding kejohanan lain yang biasa guna best of three. Wang kemenangan ini kami akan gunakan untuk upgrade gaming house kami untuk memudahkan latihan," kata kapten pasukan Bosskur, Faris.

Bosskur seterusnya akan menyertai musim ketiga Mobile Legend Professional League antara Malaysia dan Singapura pada Mac ini dengan harapan untuk meraih gelaran itu.

Sementara itu, Presiden Todak Gaming Community, Khairul Azlan Zainal Ariffin berkata pihaknya akan membentuk satu pasukan Mobile Legends Profesional Malaysia dari kalangan peserta kejohanan itu untuk mewakili negara ke kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak boleh dedahkan sama ada semua pemain yang dipilih daripada pasukan sama atau pasukan berbeza, tetapi mereka akan berlatih dan menyertai kejohahan secara sepenuh masa. Kita juga merancang untuk menganjurkan permainan yang lain.

"Kita pilih Mobile Legends sebagai pertandingan pertama kerana permainan ini mempunyai pengikut yang ramai dan semua orang boleh bermain dengan adanya telefon pintar. Dari segi teknikal juga agak mudah untuk dianjurkan," katanya pada sidang media selepas kejohanan itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata lebih 1,000 pasukan terdiri daripada lebih 5,000 pemain telah menyertai pusingan kelayakan yang telah berlangsung pada 1 hingga 17 Dis lepas.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM), Azlan Ismail berkata pihaknya masih mengkaji proses pemilihan yang sesuai bagi Sukan SEA Filipina November ini, di mana buat kali pertama e-Sports akan dipertandingkan sebagai acara berpingat dalam temasya sukan antarabangsa. - Bernama