STAR akur walau kurang gembira tanding lapan kerusi

Jeffrey Kitingan
Jeffrey Kitingan
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan bertanding lapan daripada 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diumumkan oleh Perikatan Nasional (PN) hari.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, walaupun kurang gembira dengan keputusan itu, namun beliau akur demi semangat setiakawan dalam PN.

"Ya lapan kerusi (ditandingi), kita tidak gembira tapi kita mesti mengambil kira sebagai satu pasukan.

"Kita akan kekal dalam PN kerana PN ini diwujudkan oleh kami (STAR)," katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon PN oleh Ketua Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Hajiji Noor di sini hari ini.

Jeffrey berkata, STAR sepatutnya diberi peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi DUN Sabah khususnya di kawasan majoriti Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

"Kita sepatutnya boleh bertanding di kawasan seperti Bengkoka dan Kadamaian, tapi keputusan ini sudah dibuat," katanya.

Ditanya berhubung ketiadaan Pas dalam senarai calon yang diumumkan oleh PN, beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana Pas tidak sesuai dengan sentimen di Sabah.

Terdahulu, Hajiji mengumumkan PN yang terdiri daripada Bersatu, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) akan bertanding di 29 kerusi pada PRN Sabah dijadualkan pada 26 September ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, berlaku pertindihan kerusi antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) di DUN Paginatan dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi DUN Tulid dan Sook.