X

Kindly register in order to view this article
!

Osman buktikan beliau setia dengan Kerajaan PN

Osman Sapian
A
A

ISKANDAR PUTERI - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menegaskan bahawa beliau masih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyokong kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, ia dapat dilihat ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini apabila beliau duduk di sebelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Pagoh.

Menurutnya, kedudukan beliau mengikut aturan di sebelah Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Sahruddin Jamal yang juga ADUN Bukit Kepong membuktikan beliau masih setia kepada Kerajaan PN.

"Saya sudah buktikan hari ini saya masih lagi dalam Kerajaan PN walaupun dikatakan berlaku perubahan drastik pada Sidang DUN hari ini. Tetapi tiada apa-apa pun yang berlaku.

"Hari ini saya duduk sebelah Muhyiddin berbual macam biasa seperti sahabat lama. Kami bersahabat lama sejak dari sama-sama dalam UMNO dan kini kami sudah dalam Bersatu," katanya ketika ditemui pada Persidangan Penggal Ketiga DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Osman yang Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam menjadi perhatian apabila timbul desas-desus menyatakan beliau akan beralih arah berikutan tindakan menyokong calon bebas pro Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim.

Sementara itu, Osman berkata, beliau diberikan peluang menyertai perbahasan untuk usul yang akan dibentangkan pada Sidang DUN pada Ahad ini.

"Saya akan membawa usul rintihan akar umbi Bersatu yang tidak puas hati dengan UMNO yang dilihat memonopoli agihan lantikan ahli majlis dan beberapa jawatan lain," katanya.

Kedudukan PN dan PH di Johor tipis apabila PN memiliki 29 kerusi, manakala pembangkang sebanyak 27 kerusi.

Pecahan kerusi bagi PN ialah UMNO (14), Bersatu (12), MIC (2) dan Pas (1), manakala PH membabitkan (14), Parti Amanah Negara (9) dan Parti Keadilan Rakyat (4).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!