Guan Eng minta Zahidi letak jawatan

Gambar dari kiri: Lim Guan Eng, Zahidi Zainul Abidin
Gambar dari kiri: Lim Guan Eng, Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin meletak jawatan kerana melanggar etika kerja, profesionalisme dan mencemar maruah rakyat.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, Zahidi berulang kali memberi maklumat palsu dan menyalahkan orang lain untuk menutup kegagalan sendiri.

Selain itu, beliau berkata, Zahidi turut membuli pelajar universiti di Sabah, Veveonah Mosibin, 18.

"Beliau (Zahidi) sering menyarankan orang lain agar tidak menyebarkan berita palsu dengan ungkapan 'tidak pasti, jangan kongsi'. Akan tetapi, beliau sendiri melanggar prinsip tersebut kerana telah berkongsi berita palsu berkaitan dengan kes Veveonah.

"Selepas meminta maaf atas dakwaan palsunya bahawa Veveonah telah menipu, Zahidi pula menyatakan akan menyiasat perkara ini secara mendalam untuk menentukan kesahihan dakwaan Veveonah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, selepas mendapat kritikan ramai, Zahidi menyalahkan pemimpin DAP termasuk dirinya, Lim Kit Siang dan Hannah Yeoh kerana dikatakan mempolitikkan isu tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuduhan berniat jahat, DAP cuba raih politik murahan: Zahidi

Sementara itu, Guan Eng berkata, DAP tidak pernah berjumpa Veveonah dan hanya memberikan ulasan selepas Zahidi menyerang pelajar tersebut dalam ucapan Dewan Negara.

"Kini Kabinet sendiri mempersalahkan Zahidi sebagai tidak wajar dan tidak tepat dalam menangani isu ini. Hakikatnya, Zahidi tidak boleh salahkan siapa-siapa sekarang kerana tindakan itu bagaikan meludah ke langit terkena ke muka sendiri," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng berkata, ketika isu membuli pelajar berkenaan belum selesai, Zahidi mengumumkan hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mengenakan bayaran perkhidmatan 20 sen bagi pembelian bawah RM1,000 di platform e-dagang dan tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya.

Menurutnya, cadangan tersebut menimbulkan reaksi negatif orang ramai dan susulan itu, KKMM pula mengeluarkan kenyataan rasmi semalam menafikan cadangan tersebut kerana tidak pernah dibincangkan.

"Dengan kenyataan KKMM, adakah ini bermakna Zahidi membuat kenyataan yang palsu? Sekali lagi beliau melanggar saranannya sendiri iaitu 'tidak pasti, jangan kongsi'.

"Memandangkan Zahidi telah hilang kredibiliti awam, adalah perlu seorang lain yang lebih berwibawa dan berkemampuan menggantikannya sebagai Timbalan Menteri," katanya.