Muhyiddin lantik Azmin, Zuraida ahli MPT Bersatu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat oleh Muhyiddin pada mesyuarat MPT semalam.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang kalah dalam pemilihan jawatan Naib Presiden Bersatu turut dilantik sebagai ahli MPT.

"Turut dilantik menganggotai MPT ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Dr Muhammad Faiz Na’man," katanya.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan beliau kekal menyandang jawatan Setiausaha Agung Bersatu manakala Datuk Mohamed Salleh Bajuri dilantik sebagai bendahari dan Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan Bersatu.

Dalam kenyataan sama, Hamzah memaklumkan bahawa Muhyiddin pada mesyuarat MPT semalam turut melantik ketua Bersatu negeri dan timbalannya termasuk dirinya sebagai Ketua Bersatu Perlis.

Turut dilantik sebagai ketua Bersatu negeri ialah Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Kedah); Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak dan Pahang) serta Datuk Shabudin Yahaya (Pulau Pinang).

Di Selangor, Abdul Rashid mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Bersatu Kedah, manakala Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya (Wilayah Persekutuan); Datuk Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan) dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Melaka).

Artikel Berkaitan:

Datuk Kamarudin Md Nor dilantik sebagai Ketua Bersatu Kelantan, Senator Datuk Razali Idris (Terengganu), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sabah) dan Jakiri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak).

Dalam pada itu, Muhyiddin menggalas tugas sebagai Ketua Bersatu Johor dan Pengerusi Biro Politik parti itu.

Faizal turut dilantik sebagai Pengerusi Biro Pengurusan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Pengerusi Biro Pilihanraya dan Kajian), Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan), Mohd Rafiq (Pengerusi Biro Penambahan Ahli dan Cawangan) manakala Shabudin (Pengerusi Biro Agama).

Sementara itu, Mohamed Azmin pula turut dilantik sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Biro Ekonomi.