Faktor calon, strategi faktor kemenangan BN

Calon BN, Ramli Mohd Nor memenangi kerusi Parlimen Cameron Highland, semalam. - Foto: SINAR HARIAN/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Calon BN, Ramli Mohd Nor memenangi kerusi Parlimen Cameron Highland, semalam. - Foto: SINAR HARIAN/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - PRK Cameron Highlands merupakan pertembungan ketara antara dua demografi komposisi kaum yang besar jurangnya antara Dun Tanah Rata dan Dun Jelai.

Kumpulan Penyelidik Institut Darul Ehsan (IDE) menerusi Siri Analisis PRK P078 Parlimen Cameron Highlands berkata, dalam komposisi seperti ini, maka isu calon memainkan peranan utama mempengaruhi pengundian.

Menurut dapatan itu, PH atau DAP berjaya mengekalkan pola peratusan pengundian yang sama dengan PRU14 khususnya vote-bank mereka di Dun Tanah Rata.

"Sentimen orang Melayu khususnya di luar bandar seperti Dun Jelai masih sukar menerima DAP sebagai calon. Sentimen dan isu perkauman yang dibangkitkan amat menjadi keprihatinan khususnya Melayu luar bandar.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Highlands: Rakyat tolak politik perkauman

"PH masih belum cukup masa selepas PRU14 untuk memberi penjelasan dan mengubah pemikiran Melayu luar bandar berkaitan dengan isu rasuah, integriti, penyelewengan dan lain-lain," katanya, hari ini.

Katanya, PH perlu mempertingkatkan kemampuan berkaitan strategi penerangan dan penjelasan isu-isu perjuangan gabungan parti itu yang berbeza antara penduduk bandar dan luar bandar.

"Pendekatan strategi PH yang diwakili DAP menggunakan pendekatan makro dari segi isu dan sentimen.

Artikel Berkaitan:

"Berbeza dengan BN dan Pas yang menggunakan strategi ‘micro-targetting’ atau marking pengundi. Dalam erti kata lain BN dan Pas mampu mengepung pengundi mereka yang terdiri dari ahli, penyokong dan pengundi atas pagar," katanya.

Jelasnya, kerjasama politik antara Pas dan Umno dilihat berjaya di Cameron Highlands.

"Jika kerjasama ini berjaya, ternyata ia akan memberi kesan kepada landskap politik negara ini kelak khususnya dalam perihal politik orang Melayu.

"PH masih gagal dalam memenangi undi orang Melayu di desa (luar bandar). Perlu diingat bahawa tugas untuk menangani undi orang Melayu ini adalah tanggungjawab setiap parti politik yang berteraskan Melayu. Jika dalam BN, sudah tentulah Umno dan jika dalam PH pula ialah Bersatu atau Amanah dan PKR," katanya.

Analisis tersebut turut menyatakan, kegagalan PH menawan Parlimen Cameron Highlands disebabkan orang Melayu masih tidak yakin parti-parti politik kaum itu dalam pakatan mampu menjadi wadah utama memperjuangkan hak mereka.

"Ini akan menimbulkan kesulitan buat PH jika parti-parti politik Melayu dalamnya masih gagal untuk menangani isu ini.

"Kerjasama Umno dan Pas ternyata memberi keyakinan yang lebih buat pengundi melayu khususnya di desa. Jika PH masih gagal untuk menangani isu ini dengan baik, maka ia akan memberi kesan kepada pengundi Melayu di pinggir bandar dan bandar," katanya.

Mengulas lanjut, analisis itu menyebut dalam pasca 9 Mei 2018 sama ada Umno ataupun Pas telah berusaha keras menimbulkan keresahan dalam hati orang Melayu bahawa negara ini bukan ditadbir oleh orang melayu lagi.

"Berdasarkan keputusan PRK ini, ternyata mereka termakan dengan ayat-ayat ini. Perang ayat saraf ini merupakan kanser dan jika tidak bendung sebaiknya ia akan merebak kepada orang melayu di kawasan pinggir bandar dan juga bandar," katanya.

Jelasnya lagi, wujud tanggapan bahawa apabila kerajaan ini sudah bertukar, maka undi Melayu di desa khususnya di Felda akan beralih dan menyokong kerajaan sedia ada atas asas bahawa sokongan BN khususnya Umno kerana kesetiaan mereka pada kerajaan.

"Sekali lagi PRK Cameron Highlands membuktikan tanggapan ini silap. Pengundi Melayu desa ini mempunyai 'political wisdom' yang tinggi. Mereka memilih Umno kerana mereka yakin bahawa parti politik ini akan memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam," katanya.

Tambahnya, bagi masyarakat luar bandar, mereka lebih prihatin kepada isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang, harga komoditi, bantuan kerajaan dan lain-lain masih membelenggu mereka.

"Masyarakat ini masih belum dapat mengapresiasi perubahan reformasi pilihan raya, Parlimen dan lain-lain. Ia memakan masa," jelasnya.