Tiada hak eksklusif urus buangan terjadual

Setakat ini JAS telah melesenkan Kemudahan Pemerolehan Kembali, Pengolahan dan Pelupusan Terjadual di seluruh negara melibatkan 406 kemudahan (PYDT BT) dan 343 pengangkut. (Gambar fail Bernama)
Setakat ini JAS telah melesenkan Kemudahan Pemerolehan Kembali, Pengolahan dan Pelupusan Terjadual di seluruh negara melibatkan 406 kemudahan (PYDT BT) dan 343 pengangkut. (Gambar fail Bernama)
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada hak eksklusif yang dilesenkan kepada mana-mana 'Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual' (PYDT BT) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengendalikan buangan terjadual di negara ini.

Tegas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), setakat ini, JAS telah melesenkan Kemudahan Pemerolehan Kembali, Pengolahan dan Pelupusan Terjadual di seluruh negara yang melibatkan 406 kemudahan (PYDT BT) dan 343 pengangkut.

"Ia bagi memastikan pengurusan buangan terjadual adalah berkesan dan memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua industri dan punca yang menghasilkan buangan terjadual hendaklah menguruskan buangan berkenaan dengan sempurna iaitu dari segi notifikasi, maklumat ciri buangan, penstoran, pelabelan, inventori dan maklumat pergerakan buangan terjadual.

"Semua ini perlu direkodkan melalui sistem atas talian iaitu eSWIS (Electronic Scheduled Waste Information System) selaras dengan kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya.

KASA berkata, JAS tidak terlibat dalam sebarang penetapan kos dan sebarang kos yang dikenakan ke atas pengeluar buangan adalah ditetapkan oleh PYDT BT yang telah dilesenkan.

"Hak eksklusif yang pernah diberikan oleh kerajaan adalah bagi operasi 'Centralized Integrated Scheduled Waste Management Center' iaitu Kualiti Alam Sdn Bhd selama 15 tahun bermula pada 1 Mac 2000 dan telah tamat pada 28 Februari 2015," katanya.

Tambahnya, kerajaan bercadang untuk membina lima kemudahan pengurusan sisa bersepadu iaitu di Johor, Perak, Terengganu, Sabah dan Pulau Pinang bagi memastikan sisa buangan terjadual dapat diurus dengan lebih baik serta sempurna.

Artikel Berkaitan:

Semalam, tular di media sosial bahawa kerajaan telah memberi hak eksklusif kepada beberapa syarikat untuk mengumpul sisa berjadual (SW).

Selain itu, ia mendakwa syarikat pengendali SW mengenakan bayaran tinggi terhadap premis yang ingin mendapat perkhidmatan tersebut.

Isu pembuangan sisa terjadual kerap kali dibangkitkan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab melepaskan SW ke sungai yang menjadi punca air bersih di sekitar Lembah Klang.

Rentetan itu ia memaksa Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghentikan operasi untuk melakukan pembersihan bagi memastikan kualiti air dan keselamatan pengguna.