Terap prinsip Rukun Negara, perkasakan semangat perpaduan

Iklan
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia perlu sentiasa menerapkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian bagi memastikan keharmonian dan perpaduan yang dinikmati terus terpelihara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, prinsip Rukun Negara yang berteraskan nilai keamanan, perpaduan dan keharmonian juga perlu dipupuk dalam hati dan minda terutama dalam kalangan anak-anak muda supaya Malaysia terus maju dari segi sosial serta ekonomi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakyat Malaysia juga diharap memperingati jasa pejuang kemerdekaan yang telah membina asas negara bagi membolehkan semua pihak berganding bahu dan hidup harmoni sebagai sebuah negara yang bersatu.

"Kepelbagaian bangsa, agama dan budaya adalah tonggak utama yang mencorakkan tanah air tercinta dan kitalah nadi negara. Kita juga harus hargai khazanah yang tidak ternilai ini dan pembangunan negara adalah hasil daripada usaha serta kematangan semua rakyat secara bersama.

Iklan

"Seiring kita melangkah ke hadapan, kita harus memainkan peranan bagi memastikan keharmonian dan perpaduan terpelihara," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, walaupun sambutan tahun ini berbeza berikutan penularan pandemik Covid-19, namun perasaan cinta terhadap negara dan kekuatan sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu tetap teguh.

Iklan

Katanya, walau apa juga cabaran yang melanda, pandemik global juga tidak akan mampu mematahkan semangat perpaduan yang sedia terbina dan mengharapkan semua pihak sentiasa menjaga diri dengan baik sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dinamik, maju dan terus diberkati.