SHAH ALAM - Karangkraf menyasarkan sehingga 3,000 naskhah al-Quran untuk disumbangkan menerusi program Infaq Al-Quran sempena Jualan Gudang Karangkraf bagi membantu masjid serta institusi memerlukan.
Eksekutif Pemasaran Al-Quran Karya Bestari, Mysarah Razlin berkata, jumlah sumbangan sebenarnya tidak terhad dan berpotensi meningkat bergantung pada jumlah sumbangan diterima daripada orang ramai.
Menurutnya, agihan sumbangan akan menumpukan masjid yang memerlukan sebelum diperluaskan kepada institusi kebajikan, rumah anak yatim serta institusi lain yang memerlukan naskhah al-Quran untuk kegunaan harian atau aktiviti pengajian.
Katanya, al-Quran jenis mushaf hitam putih dipilih bagi program ini kerana mempunyai susun atur halaman yang ringkas, kemas dan jelas untuk dibaca.
"Susun atur ini sesuai untuk pelbagai peringkat pembaca termasuk mereka yang baru mula belajar membaca al-Quran.
"Saiznya sederhana juga menjadikan mushaf ini mudah dibawa dan praktikal untuk kegunaan harian," katanya ketika ditemui di Jualan Gudang Karangkraf di sini pada Sabtu.
Mysarah berkata, program Infaq Al-Quran bukanlah kali pertama dianjurkan Karangkraf, malah inisiatif seumpama itu pernah dilaksanakan dan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Sehubungan itu, katanya, syarikat mengambil inisiatif meneruskan program sama bagi memperluas agihan al-Quran kepada golongan memerlukan.
"Harapan kami supaya program ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai individu dan institusi yang memerlukan al-Quran.
"Pada masa sama, kami ingin membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai bersama-sama menyumbang dan menjadikan infaq ini sebagai amal jariah berpanjangan selagi mana al-Quran disumbangkan terus dibaca dan dimanfaatkan," katanya.