Enam kedutaan Malaysia imarahkan Malaysia #QuranHour Merdeka

Iklan
Marhaini Yusoff

SHAH ALAM - Enam kedutaan Malaysia di luar negara turut sama mengimarahkan Malaysia #QuranHour dengan tema ‘Malaysia Harmoni: Bina 12 Personaliti Ibadurrahman’ yang diadakan serentak di seluruh negara dan luar negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff berkata, antara kedutaan Malaysia di luar negara yang terlibat termasuklah di Azerbaijan (Baku), Jakarta, Dubai, Qatar (Doha), India (Chennai) dan Nigeria (Abuja).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat mereka yang sudah pun mengimarahkannya lebih awal seperti di Jakarta, Dubai dan India manakala selebihnya akan dilaksanakan serentak mengikut waktu tempatan masing-masing.

"Untuk Malaysia #QuranHour kali kini kita ketengahkan surah Al-Furqan, selain meneruskan surah Ar-Rahman yang menjadi tema kepada World #QuranHour tahun ini.

Iklan

"Selain itu, kita turut mengangkat hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang dilihat mampu merealisasikan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, Malaysia Prihatin dan juga tema Malaysia #QuranHour, Malaysia Harmoni,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Marhaini berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini turut diadakan dalam normal baharu sebagai usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 dan orang ramai diajak untuk turut sama mengimarahkannya menerusi beberapa platform yang disediakan.

Iklan

"Jadi kita harap orang ramai dan ahli keluarga mereka dapat turut sama meluangkan masa selama sejam untuk bersama-sama keluarga mengimarahkan Malaysia #QuranHour.

"Program ini akan disiarkan secara langsung di TV Alhijrah, Astro Oasis, Bernama, Radio IKIM, laman Facebook Sinar Harian dan juga Facebook QuranHour,” katanya.

Dalam pada itu, Marhaini berkata, Malaysia #QuranHour yang memasuki tahun keenam penganjurannya itu bertujuan untuk menarik perhatian dan mengajak masyarakat melakukan perubahan dengan al-Quran ke arah Malaysia prihatin dan harmoni.

Justeru, katanya, perubahan itu perlu bermula daripada keluarga yang prihatin, diikuti komuniti, organisasi dan negara juga perlu prihatin dalam usaha menjadikan Malaysia harmoni dengan masyarakat yang berbilang kaum.

"Jadi, nilai daripada individu dan juga nilai ibadurrahman itu dapat dicetuskan untuk bersama-sama berusaha menjadi lebih baik lagi.

"Cetusan ini tidak berakhir di QuranHour tetapi apa yang lebih penting adalah untuk melakukan perubahan dalam usaha mencapai hasrat negara ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang prihatin,” katanya.