MEDAC bangunkan aplikasi jualan dalam talian

Iklan
Wan Junaidi mengibarkan Jalur Gemilang ketika hadir pada program Bicara Ilmu 'Jana Pendapatan Dengan Aplikasi Smartphone' di Bangunan Koperasi Pembangunan Bako Kuching Berhad, di Kampung Bako hari ini. -Foto Bernama

KUCHING - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membangunkan satu aplikasi penjualan dalam talian untuk kemudahan semua rakyat negara ini yang bakal menyaingi platform sedia ada seperti Lazada, Shopee dan Alibaba.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk mewujudkan sebuah aplikasi yang pada peringkat awal ini diberi nama Online Market.

Iklan
Iklan

"Saya sudah meminta pihak Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Institut Keusahawanan Negara (Insken), Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membuat kajian terhadap pelaksanaan aplikasi berkenaan.

"Bila ada aplikasi dari kementerian ini, semua pengguna tidak perlu lagi akses kepada Lazada, Shopee ataupun Alibaba kerana caj mereka ini lebih tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Bicara Ilmu: Jana Pendapatan Dengan Aplikasi Smartphone, di Kampung Bako di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila aplikasi itu dilancarkan nanti, beliau cukup yakin bahawa ia akan menjadi satu pergerakan penjualan dalam talian terbesar di dalam negara.

"Kalau pihak kementerian mengadakan aplikasinya sendiri dengan secara langsung ia dapat memudahkan pengguna dan semua syarikat penjual juga nanti boleh bersama dengan kita untuk berniaga di dalam talian,” katanya.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Wan Junaidi memberi bayangan transformasi IKM kepada kolej universiti bakal berlaku dalam masa terdekat ini dan dijangka ia dapat direalisasikan pada Oktober 2020.

"Saya rasa yakin impian ini mampu dilaksanakan. Saya sudah beritahu kepada IKM bahawa sasarannya untuk dinaik taraf dari institut kepada kolej universiti itu pada bulan Oktober ini,” katanya.

IKM ditubuhkan pada 1956, perubahan status pusat latihan yang pada mulanya dikenali sebagai Maktab Koperasi Malaysia itu dijangka berupaya meningkatkan daya saing, kualiti dan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). - Bernama