Projek rundingan terus PH hanya RM352 juta, kata Guan Eng

Iklan
Guan Eng ketika mengadakan sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Bernama

KUALA LUMPUR - Pembangkang mendakwa perincian 101 senarai projek rundingan terus kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti yang didedahkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bukan berjumlah RM6.61 bilion, tetapi hanya RM352 juta daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kebanyakan projek rundingan terus itu bukan inisiatif baharu daripada PH, tetapi merupakan projek yang diwarisi atau sambungan daripada zaman Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

Menurutnya, bezanya, PH telah meneruskan projek-projek tersebut dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan yang ketara.

"Apa yang mengejutkan ialah rupa-rupanya projek rundingan terus di bawah inisiatif PH bukanlah RM6.61 bilion seperti yang diwar-warkan tetapi sebenarnya RM352 juta.

Iklan

"Baki RM6.258 bilion ialah projek yang diwarisi dan sambungan daripada zaman BN yang terpaksa diteruskan oleh PH," katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Katanya, nilai projek rundingan terus RM6.61 bilion hanya merupakan 1.38 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan oleh kerajaan pada 2018 dan 2019.

Iklan

"Sekiranya hanya nilai projek rundingan terus yang benar-benar di bawah inisiatif PH diambil kira iaitu RM352 juta, ia merupakan hanya 0.07 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan tempoh itu sebanyak RM477.38 bilion.

"Dalam kata lain, 99.93 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan telah ditawarkan melalui kaedah tender dan bukan rundingan terus. Jelas sekali ia adalah penipuan besar oleh Tengku Zafrul mengatakan PH telah meluluskan RM6.61 bilion rundingan terus," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Kewangan dedah senarai 20 kementerian

Mengulas lanjut, Guan Eng mendakwa, penipuan kedua ialah meletakkan projek pada zaman BN sebanyak RM6.258 bilion sebagai projek rundingan terus kerajaan PH yang hanya berjumlah RM352 juta sahaja untuk menjadikan jumlah kononnya RM6.61 bilion.

"Keraguan kami telah terbukti dengan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan semalam. Pertama sekali, senarai tersebut telah memasukkan lima projek bernilai RM4.48 bilion yang ditawarkan oleh kerajaan BN sebelum PH menjadi kerajaan.

"Projek yang paling mengejutkan ialah projek menaik taraf kemudahan infrastruktur landasan berkembar elektrik di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2). Sebenarnya projek ini telah ditawarkan kepada syarikat tersebut dengan harga RM5.265 bilion oleh kerajaan BN secara rundingan terus," katanya.

Jelasnya, setelah mengambil alih kerajaan, PH mendapati bahawa harga kontrak tersebut terlampau tinggi dan jemaah menteri telah bersetuju untuk membatalkan kontrak tersebut.

"Akan tetapi pihak syarikat kontraktor, sebuah syarikat usaha sama antara Dhaya Maju dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah merayu kepada pihak kerajaan. Setelah rundingan yang menyeluruh, kerajaan PH telah bersetuju untuk meneruskan projek tersebut dengan harga kontrak jauh lebih rendah iaitu RM4.475 bilion.

"Penyelesaian ini juga akan mengelakkan sebarang tindakan mahkamah antara syarikat dengan kerajaan dan mengurangkan sebarang kelewatan ke atas projek jika projek tersebut ditenderkan semula.

"Oleh itu, Menteri Kewangan sepatutnya memuji kerajaan PH kerana berjaya menjimatkan wang rakyat sebanyak RM790 juta," katanya.

Tambah Guan Eng, selain projek tersebut, terdapat empat projek di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa yang bernilai RM8.18 juta yang telah dijalankan sebelum April 2018 iaitu ketika pentadbiran BN.

"Hanya lima projek daripada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pengangkutan dan MITI di bawah BN sebanyak RM4.49 bilion sahaja sudaha merangkumi 68 peratus daripada jumlah RM6.61 bilion projek rundingan terus yang dihebohkan oleh Menteri Kewangan," katanya.

Temui 31 projek bernilai RM1.753 bilion diwarisi daripada kerajaan BN

Dalam pada itu, Guan Eng turut menjelaskan bahawa penemuan awal mengenai senarai 101 projek menunjukkan bahawa 31 projek bernilai RM1.753 bilion merupakan projek yang diwarisi daripada kerajaan BN.

"Kesemua kontrak tersebut merupakan sambungan dan penambahbaikan bekalan dan perkhidmatan yang diwarisi daripada kerajaan BN.

"Kontrak-kontrak tersebut juga selalunya melibatkan perkhidmatan atau bekalan yang memerlukan kepakaran tertentu atau monopoli misalnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia terpaksa memperoleh perkhidmatan sewaan satu multiplexer beserta infrastruktur dan fasiliti rangkaian bagi siaran TV digital bagi tempoh tiga tahun dengan nilai RM254 juta kerana tiada pilihan lain.

"Kontrak melantik Mytv untuk perkhidmatan tersebut telah dibuat pada 2014 semasa kerajaan BN. Begitu juga dengan kontrak pengurusan operasi dan penyelenggaraan sistem Malaysia emergency response Services (Mers) 999 dengan Telekom Malaysia Berhad sebagai pembekal tunggal benilai RM94 juta merupakan perolehan dalam situasi sama," katanya.

Katanya lagi, hanya lebih kurang RM352 juta atau 5.3 peratus daripada RM6.61 bilion merupakan perolehan baharu rundingan terus yang dilaksanakan oleh kerajaan PH.

"Daripada nilai ini, RM170 juta iaitu hampir setengah daripada 48.3 peratus daripada nilai keseluruhan ialah untuk projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara bagi menggantikan stesen sedia ada.

"Ia merupakan projek diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Mungkin lebih baik jika menteri terlibat, Yang Berhormat Ampang (Zuraida Kamaruddin) yang begitu lantang menafikan penawaran sebarang kontrak secara rundingan terus menjelaskan apa sebabnya projek ini ditawarkan secara rundingan terus," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua projek rundingan terus KPKT di luar pengetahuan menteri

Beliau turut mendakwa penipuan ketiga yang dilakukan oleh Tengku Zafrul untuk menutup hakikat bahawa Perdana Menteri dan menteri-menteri pengkhianat PH yang kini menjadi menteri Perikatan Nasional juga ada meminta projek rundingan terus.

"Mereka semua telah cuba menafikan di Parlimen dan dalam kenyataan akhbar. Pembohongan menteri-menteri pengkhianat dibongkar dengan pendedahan senarai Tengku Zafrul semalam yang menunjukkan kementerian yang disandang sebelum ini.

"Antaranya Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meminta RM 517.7 juta; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida) meminta RM170.8 juta; Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) meminta RM1.2 juta dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Datuk Seri RIna Harun) meminta 7.36 juta," katanya.

Jelasnya lagi, selain permintaan menteri-menteri tersebut, projek-projek besar seperti KVDT2 mendapat kelulusan Kabinet.

"Sama ada menteri-menteri pengkhianat ini bohong tidur dalam Kabinet atau terlalu sibuk mengatur Langkah Sheraton, hanya mereka yang tahu," katanya.

Justeru, Guan Eng menggesa Tengku Zafrul perlu berterus-terang dengan mendedahkan projek rundingan terus zaman BN dan lebih penting projek yang diluluskan beliau sendiri pada ketika ini.

"Beliau harus membuktikan semua projek rundingan terus yang diluluskan adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang menyokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

"Jangan ada perbezaan antara dua darjat seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya berhasrat mengkaji projek rundingan terus PH tetapi tidak projek rundingan terus BN atau PN," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai rundingan terus diumum atas dasar telus: Tengku Zafrul