BMS 2026 semarak budaya menabung demi jaminan masa depan pendidikan tinggi

Iklan
Norliza (tengah) menyempurnakan simbolik Majlis Penutup BMS 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia sambil diperhatikan oleh Azhar (kiri) dan Wan Zawiah pada Sabtu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuhkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 yang memasuki tahun ke-9 sejak ia diperkenalkan pada 2018.

Bertemakan ‘Under The Sea’ dan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda!’, program yang berlangsung dari 25 September hingga 1 November di seluruh negara itu menjadi medium penting bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan pendidikan sejak awal, khususnya demi memastikan masa depan pendidikan tinggi anak-anak lebih terjamin.

Iklan
Iklan

Pengisian kali ini turut memfokuskan usaha PTPTN mentransformasikan minda masyarakat daripada meminjam kepada menyimpan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman, sekali gus mengelakkan anak-anak dibelenggu hutang sebaik tamat pengajian.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, penganjuran BMS 2026 menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk ibu bapa dan anak-anak.

Iklan

Jelas beliau, BMS 2026 yang dianjurkan sempena Hari Tabungan Sedunia setiap 31 Oktober bukan sahaja membolehkan PTPTN memberi pendedahan mengenai kepentingan amalan menabung, tetapi juga berkesempatan memperkenalkan pelbagai manfaat dan keistimewaan produk Simpan SSPN kepada masyarakat.

Norliza berucap sempena Majlis Penutup BMS 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia di Pusat Beli-Belah Alamanda, Putrajaya pada Sabtu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Iklan

Manfaat Simpan SSPN seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.

Bukan itu sahaja, menurut Norliza, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima sebanyak RM26.07 bilion melibatkan 7.74 juta akaun setakat 30 September lepas.

Katanya, prestasi itu membuktikan Simpan SSPN kekal kukuh dan relevan sebagai salah satu simpanan pendidikan terbaik di Malaysia.

“Kutipan deposit Simpan SSPN yang diterima sepanjang BMS 2026 pula berjumlah RM267.7 juta, pencapaian sebanyak 107.10 peratus berbanding sasaran kutipan RM250 juta.

“PTPTN optimis yang jumlah kutipan deposit sempena BMS 2026 akan terus meningkat dan mencatatkan prestasi lebih membanggakan.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutup BMS 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia bertempat di Pusat Beli-Belah Alamanda di sini pada Sabtu.

Dari kiri: Azhar, Norliza dan Wan Zawiah ketika Majlis Penutup BMS 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia di Pusat Beli-Belah Alamanda, Putrajaya pada Sabtu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad serta Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

Orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan tabung edisi khas BMS 2026 dan cenderahati eksklusif melalui penabungan dalam Simpan SSPN.

Ketika Majlis Penutup BMS 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia dengan tema ‘AI advices, Human decides’, PTPTN turut mengadakan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik serta hadiah pemenang Pertandingan Koir Simpan SSPN.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh PTPTN itu menyuntik kelainan dan memberikan nafas baharu dalam BMS 2026.

SMK Putrajaya Presint 8 (1) dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Koir Simpan SSPN BMS 2026. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Johan bagi Pertandingan Koir Simpan SSPN dimenangi oleh SMK Putrajaya Presint 8 (1) sekali gus membawa pulang wang RM4,500 dalam bentuk Simpan SSPN.

Naib Johan jatuh kepada SMK Putrajaya Presint 11 (1) manakala tempat ketiga SMK Putrajaya Presint 11 (2).

SMK Putrajaya Presint 9 (2) dan SMK Putrajaya Presint 18 (1), masing-masing dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat serta kelima.

Acara pada sebelah petang dimeriahkan lagi dengan sesi temu mesra watak animasi ikonik, Didi & Friends serta maskot rasmi P&T Simpan SSPN.

Woi Shoong

Dr Wan Israr