KUALA LUMPUR - Kejohanan PAAB X Media Pickleball 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan rakan-rakan media yang selama ini memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat berkaitan pembangunan infrastruktur air negara kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Zulkiflee Omar berkata, media merupakan rakan strategik utama dalam membantu meningkatkan pemahaman rakyat mengenai peranan PAAB sebagai syarikat pengurusan aset air negara.
“Melalui penganjuran program seperti ini, kami bukan sahaja mengukuhkan kerjasama sedia ada, malah mewujudkan ruang lebih santai untuk berinteraksi, bertukar pandangan dan membina persefahaman yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan kejohanan di CAVE, PP Club, Jalan Ampang pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Korporat PAAB, Rozaifee Abu Zaharim berkata, kejohanan tersebut mencerminkan komitmen berterusan PAAB dalam membina hubungan yang lebih rapat, terbuka dan mampan dengan pengamal media.
Menurut beliau, media bukan sahaja berperanan sebagai saluran penyampai maklumat, malah menjadi rakan strategik yang membantu meningkatkan kesedaran awam terhadap usaha kerajaan dan PAAB dalam memperkukuh sektor bekalan air negara.
“PAAB sentiasa menghargai sokongan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat. Program seperti ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan mesra, sekali gus mengukuhkan hubungan profesional yang telah terjalin sekian lama.
“Pada masa sama, ia selaras dengan usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga PAAB serta rakan-rakan media,” katanya.
Dianjurkan dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI), kejohanan itu menghimpunkan 32 pasukan daripada pelbagai organisasi media dan PAAB dalam suasana penuh semangat kesukanan serta muhibah.
Antara organisasi yang mengambil bahagian ialah Sinar Harian, Bernama, New Straits Times (NST), Berita Harian, Media Prima, TV3, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV AlHijrah.
Dalam pertandingan tersebut, TV3 muncul juara selepas pasangan Fathy Azlan dan Syakirah Zulkifly menampilkan aksi cemerlang untuk membawa pulang hadiah utama RM2,000.
Pasukan NST pula menguasai tempat kedua dan ketiga menerusi gandingan Wan Huzairy Wan Hussin dan Hizreen Azleena Kamal serta pasangan Intan Maizura Ahmad Kamal dan Hazwan Alias.
Melalui penganjuran kejohanan ini, PAAB bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan dengan rakan media, malah memperkukuh jaringan kerjasama yang akan terus menyokong usaha syarikat dalam menyampaikan maklumat berkaitan pembangunan dan pengurusan aset air negara demi manfaat rakyat.