Rakyat lahir selepas merdeka tidak tahu cabaran nenek moyang

Iklan
Lee Lam Thye

SHAH ALAM - Sambutan Hari Merdeka pada tahun ini akan menjadi sambutan yang tenang dengan mengikuti normal baharu dalam menghadapi ancaman koronavirus (Covid19).

Ahli Pemegang Amanah, Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun tiada perarakan dan perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka kali ini, namun ia tidak boleh melunturkan semangat rakyat kerana semangat merdeka sentiasa hidup di hati dan fikiran setiap rakyat di mana sahaja mereka berada.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masyarakat di negara ini perlu terus memupuk dan memperkuat semangat itu dalam apa jua yang dilakukan termasuklah sikap dan cara berfikir sekali gus memenuhi harapan nenek moyang mereka sebelum ini.

"Dianggarkan hampir 90 peratus penduduk Malaysia dilahirkan setelah merdeka dan tidak memiliki pengetahuan tentang cabaran yang dihadapi ibu bapa dan nenek moyang mereka.

Iklan

"Justeru, pengorbanan yang dilakukan oleh generasi terdahulu untuk memajukan Malaysia seperti sekarang tidak boleh dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, selain ancaman yang ditimbulkan pengganas Komunis, masih terdapat konfrontasi yang perlu ditentang dan masalah ekonomi serta sosial lain yang mengancam struktur masyarakat.

Iklan

"Walaupun golongan muda hanya mengetahui perjuangan menerusi buku teks, namun mereka juga perlu mendapat maklumat dan menimba pengalaman daripada ibu, bapa, datuk dan nenek supaya peristiwa penting itu dapat turunkan kepada generasi akan datang.

"Kisah kehidupan nyata mereka seperti kepahlawanan, pengorbanan, kemenangan peribadi dan tindakan kolektif pasti akan bergema kepada orang muda dan memberi inspirasi kepada mereka untuk melakukan perkara sama kepada masyarakat dan negara.

Lam Thye berkata, membaca buku-buku sejarah seperti Chronicle of Malaysia 1957-2007 dan Chronicle of Malaysia 1963-2013 juga akan memberi pandangan kepada golongan muda kepada berita yang menjadi tajuk utama dalam tempoh tersebut.

"Penerbitan ini dapat memberi gambaran tentang kehidupan ketika itu dan membandingkannya dengan keadaan kehidupan ketika ini yang jauh lebih aman, lebih kaya, dengan peningkatan ekonomi dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, aktivis sosial itu turut mengajak rakyat di negara ini untuk menghidupkan kembali semangat Rukun Negara dan memastikan peranannya dalam membina sebuah negara yang bersatu-padu.

Katanya, usaha kerajaan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai agenda utama kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.

"Jadi kita berharap usaha ini dapat mendorong kerajaan untuk menggunakan lima prinsip Rukun Negara sebagai asas dalam merumuskan dasar dan melaksanakan tindakan serta program tersebut demi kemajuan negara dan rakyatnya.

"Pada tahun-tahun akan datang kerajaan dan rakyat harus memainkan peranan masing-masing untuk memupuk perpaduan nasional,” katanya yang turut mengingatkan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol cinta kepada negara.