Restoran nasi kandar belanja minuman percuma sempena Hari Kebangsaan

Iklan
Mohd Nasmir (berdiri kiri) menghidangkan minuman percuma kepada pelanggannya di Restoran Nasi Kandar Nasmir Batu Kawan pada Ahad.

BATU KAWAN – Restoran Nasi Kandar Nasmir meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan cara tersendiri apabila menawarkan minuman percuma kepada pelanggan yang menjamu selera di cawangan mereka di Batu Kawan.

Program selama 24 jam bermula 7 pagi 31 Ogos dan berakhir jam 7 pagi Isnin, memberi peluang kepada orang ramai menikmati juadah sambil menghirup minuman kegemaran tanpa sebarang bayaran tambahan.

Iklan
Iklan

Pengarah Restoran Nasi Kandar Nasmir, Mohd Nasmir Khadar Shah berkata, inisiatif berkenaan adalah tanda penghargaan kepada pelanggan setia selain sebagai cara berkongsi rezeki sempena hari kemerdekaan.

“Syukur alhamdulillah, ini kali pertama kami anjurkan program seumpama ini. Tidak kira pelanggan makan nasi kandar, roti canai atau menu lain, setiap seorang akan menerima minuman percuma.

Iklan

“Tujuan utama kami ialah menghargai pelanggan yang banyak menyokong kami. Tanpa mereka, restoran ini tidak akan sampai ke tahap sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Mohd Nasmir berkata, nasi kandar sememangnya sinonim dengan kepelbagaian kaum di Malaysia, dan restoran itu juga menjadi titik pertemuan masyarakat majmuk.

Iklan

Beliau berkata, tidak keterlaluan untuk mengatakan restoran nasi kandar merupakan salah satu tempat penyatuan masyarakat terutama bagi mereka yang menggemari hidangan tersebut.

“Pelanggan kami datang daripada pelbagai bangsa Melayu, Cina, India dan kami mahu jadikan restoran ini ruang merapatkan silaturahim. Itulah semangat sebenar merdeka,” ujarnya.

Program khas itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan ribuan gelas minuman popular seperti teh tarik, Milo ais dan Nescafe ais menjadi pilihan ramai.

“Setakat tengah hari sahaja lebih 2,000 gelas sudah diberi.

“Insya-ALLAH, menjelang tamat program jumlah itu mampu mencecah 10,000 gelas,” katanya lagi.

Seorang pelanggan, Noor Erwan Mohamed Nordin, 39, berkata, program itu mencerminkan semangat berkongsi rezeki dan memberi kegembiraan kepada masyarakat.

Noor Erwan

“Inisiatif ini bukan sahaja buat pelanggan gembira, tetapi juga mengingatkan kita bahawa merdeka ialah tentang semangat kebersamaan,” katanya.

Sementara itu, K Yamuna, 28, pula menyifatkan pemberian minuman percuma itu sebagai usaha kecil yang membawa makna besar dalam menyemarakkan perpaduan.

Yamuna

“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa dihargai. Walaupun sekadar minuman percuma, ia menunjukkan betapa pentingnya kita meraikan kebersamaan tanpa mengira kaum,” katanya.