SEMPENA bulan kemerdekaan tahun ini, pusat beli-belah terkemuka MyTOWN dengan kolaborasi A Piece of Malaysia (APOM) mempersembahkan #empatbelas 2025, iaitu pameran skarf yang menceritakan keunikan budaya 14 negeri di Malaysia.
Dengan tema utama 'United by Art' selaku jambatan penghubung antara kreativiti serta manusia, seramai 14 pereka skarf mewakili negeri asal masing-masing mempamerkan karya yang diangkat menjadi kanvas untuk tatapan pengunjung.
Pengurus Besar Pusat Beli-belah MyTOWN, Azhan Che Mat berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan APOM untuk pameran #empatbelas tahun ini yang bertemakan Kita Banyak Pattern.
Menurut beliau, pameran itu meraikan keistimewaan budaya setiap negeri, daripada dialek, pakaian hingga adat resam yang tersendiri.
“MyTOWN sentiasa menjadi tempat untuk menghimpunkan kreativiti, budaya dan komuniti dengan nilai keterangkuman sebagai teras utama.
“Ini salah satu cara kami meraikan kisah Malaysia dan memberi ruang kepada penggiat seni tempatan untuk bersinar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan pra-tayangan media United by Art di MyTOWN pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar MyTOWN, Christopher Koh; Ketua Bahagian Operasi, Rizal Ross; Ketua Bahagian Sumber Manusia, Angel Kong; Ketua Bahagian Kewangan, Kalpana Vijayan; Ketua Bahagian Pengurusan Penyewa, Muraly Ramasamy; Pengasas Bersama APOM, Chantelle dan Kelvin serta Pengurus Rakan Strategik, Joanne.
Bermula 22 Ogos hingga 16 September, pengunjung bakal dihidangkan dengan hasil kreativiti 14 pereka skarf yang menampilkan kisah, budaya dan keunikan negeri masing-masing.
Selain pameran, MyTOWN turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur sepanjang sebulan penganjuran.
Antaranya empat stesen permainan interaktif untuk memenangi barangan eksklusif MyTOWN melalui pengumpulan cop setem, bengkel hujung minggu interaktif seperti lukisan corak batik dan kraftangan, lukisan doodle interaktif, jualan magnet peti sejuk edisi terhad, persembahan muzik tradisional dan tarian kebudayaan serta perarakan Hari Kemerdekaan.
Azhan menegaskan, kerjasama MyTOWN dan APOM mencerminkan semangat United by Art yang menjadi simbol hubungan manusia serta kreativiti menerusi perkongsian budaya.
“Jalinan kerjasama ini mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi kami terhadap pereka tempatan dan kisah masyarakat.
“Justeru, sambutlah Hari Kemerdekaan ke-68 dan Hari Malaysia dengan kepelbagaian warna, seni kreatif serta budaya di MyTOWN,” ujarnya.