Pelitup muka pakai buang tidak sebabkan pencemaran

Iklan
Ahmad Masrizal

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka di kawasan sesak dan dalam pengangkutan awam tidak membawa masalah kepada isu pencemaran alam sekitar jika pembuangannya diuruskan secara sistematik.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pihaknya yakin dengan sistem pengurusan sampah dalam negara dan pada masa sama semua pihak perlu memainkan peranan mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesedaran juga perlu diberi pada peringkat anak-anak sebelum diuruskan oleh pihak kontraktor untuk melupuskan sampah berkenaan.

"Jika semua pihak memainkan tanggungjawab, penggunaan berjuta pelitup muka sehari, insya-ALLAH akan dapat diuruskan dengan baik," katanya mengulas isu kebimbangan segelintir pihak berlakunya pencemaran disebabkan sampah daripada pelitup muka pakai buang.

Iklan

Beliau ditemui ketika hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengosongan Sistem Perangkap Lemak, Minyak dan Gris antara Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dan Nusa Baiduri Sdn Bhd di Repulbik Damansara Heights hari ini.

Mengulas lanjut, langkah kerajaan mewajibkan penggunaan pelitup muka itu antara usaha mengawal penularan Covid-19 dalam negara.

Iklan

"Ia bergantung kepada negara masing-masing, tidak kisah apa juga kaedah diperkenalkan asalkan wabak Covid-19 ini dapat dibendung. Malaysia sudah membuktikan berjaya menguruskan pandemik ini dengan baik.

"Ramai juga rakyat Malaysia yang menggunakan pelitup muka daripada kain, itu tidak menjadi masalah namun jika yang ada teknologi lagi baik," katanya.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang mendedahkan sekurang-kurangnya sejuta pelitup muka sekali guna dibuang setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan yang menyebabkan lebih banyak sampah di tapak pelupusan.

Susulan itu, kerajaan negeri menggerakkan projek menggalakkan penggunaan pelitup muka guna semula yang memenuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).