Tulisan jawi: Pas kesal tindakan ADUN DAP

Iklan
Kamaruzaman

SHAH ALAM - Pas kesal dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui dari DAP yang mencabar di mahkamah berhubung keputusan Kerajaan Pahang mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di premis perniagaan.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, kenyataan ADUN Tras itu tidak berasas kerana penggunaan tulisan jawi telah lama digunakan oleh rakyat Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

Iklan
Iklan

Bahkan, katanya, tiada isu orang ramai tidak boleh membaca jawi dibangkitkan sebelum ini.

"Tulisan jawi bukan suatu perkara asing di dunia termasuk Malaysia kerana ia adalah tulisan yang telah diguna pakai sejak tahun 1300 Masihi. Bahkan sejarah turut mencatatkan bahawa Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia juga tertulis dalam abjad jawi.

Iklan

"Malah, Kerajaan Persekutuan juga mengisytiharkan Jumaat sebagai hari menyemarakkan tulisan jawi. Bagi menyambut seruan tersebut, akhbar terbitan Pas, Harakah turut mengadakan semula kolum tulisan jawi mulai Ogos ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamaruzaman berkata, DAP juga perlu sedar bahawa selama ini logo Halal bagi barangan Malaysia turut menggunakan tulisan jawi.

Iklan

Justeru, beliau berkata, Pas menyokong usaha Kerajaan Pahang dalam memperkasakan penggunaan tulisan jawi dan langkah itu seharusnya diikuti kerajaan negeri lain sebagai tanda sokongan dalam memartabatkan penggunaan tulisan jawi.

Pada 30 Julai lalu, Yu Hui memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan bagi mencabar ketetapan Kerajaan Pahang untuk menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berhubung perkara tersebut.

Kerajaan Pahang memutuskan semua premis perniagaan dan papan tanda jalan di negeri ini menggunakan tulisan jawi berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.

Penggunaan tulisan jawi itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang agar tulisan berkenaan diperkasakan di negeri terbabit.