Gangguan perkhidmatan rel turun 56 peratus pada 2025 – Anthony

Iklan
Anthony (tengah) ketika sidang media di Menara Prasarana di Petaling Jaya pada Rabu.

PETALING JAYA – Sebanyak 31 kes gangguan perkhidmatan rel direkodkan pada 2025 berbanding 71 gangguan yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengurangan hampir 56 peratus itu merupakan hasil inisiatif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) seperti penyelenggaraan aset yang lebih sistematik, pengukuhan kecekapan operasi serta penambahbaikan ketetapan masa perkhidmatan.

Iklan
Iklan

"Memang kita tidak nafikan ada gangguan, tetapi untuk mengatakan gangguan ini menjadi lebih teruk, tidak tepat kerana dari segi statistik serta jumlah gangguan, ia menurun dalam tempoh tiga tahun lalu.

"Ada gangguan disebabkan oleh masalah teknikal, sistem selain gangguan yang tidak boleh dielakkan seperti kecurian kabel. Semua ini memberi kesan kepada pengguna dan operator," katanya pada sidang media pembentangan prestasi Prasarana bagi tahun 2025 di sini pada Rabu.

Iklan

Anthony turut menjelaskan, kebanyakan sistem rel termasuk Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) beberapa laluan beroperasi tanpa pemandu dan dikawal sepenuhnya melalui Pusat Kawalan Operasi (OCC).

Oleh itu ujarnya, sebarang gangguan pada sistem kabel akan menyebabkan tren berhenti secara automatik.

Iklan

Sementara itu, beliau memaklumkan, kerajaan telah menganugerahkan perolehan 26 set tren baharu kepada China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC), selain perancangan menambah tiga set tren monorel serta kerja baik pulih melibatkan 50 set tren sedia ada.

"Fokus utama kita ketika ini untuk meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel dan bas, termasuk penambahbaikan perkhidmatan first mile dan last mile menerusi pengembangan Rapid On-Demand (ROD) serta penggunaan kenderaan elektrik.

"Usaha berterusan ini penting bagi memastikan pengangkutan awam kekal sebagai pilihan utama rakyat, khususnya pengguna harian yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan ini," katanya.