PETALING JAYA – Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) minggu depan susulan kelewatan berterusan serta isu kelulusan keselamatan yang belum diselesaikan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pertemuan yang akan melibatkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan kontraktor utama itu bertujuan menentukan tindakan seterusnya, khusus berkaitan isu teknikal yang menghalang pelaksanaan ujian tanpa gagal (FFR), iaitu prasyarat sebelum operasi percubaan dimulakan.
"Setakat hari ini, masih belum ada tarikh tetap untuk FFR kerana beberapa isu belum diselesaikan oleh pihak kontraktor.
"Ketika ini, hanya tiga set tren LRT3 telah berjaya melengkapkan proses FFR dan selebihnya masih menunggu proses pembetulan diselesaikan oleh kontraktor," katanya ketika sidang akhbar pembentangan Laporan Prestasi Prasarana bagi tahun 2025, di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Prasarana mengesahkan LRT3 laluan Shah Alam tidak boleh beroperasi pada Disember lalu susulan keperluan menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang masih dikesan dalam fasa pengujian dan pentauliahan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan dilaporkan menjelaskan, pembukaan laluan hanya akan diumumkan selepas semua komponen teknikal termasuk sistem isyarat, perisian tren dan integrasi keseluruhan rangkaian disahkan berfungsi secara stabil mengikut piawaian Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Dalam pada itu, Anthony menjelaskan, 22 set tren perlu melalui FFR diikuti operasi percubaan sebelum kelulusan operasi boleh diberikan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
"Keselamatan mesti diutamakan. Tanpa melengkapkan semua peringkat ujian yang diwajibkan, kita tidak boleh mempertimbangkan sebarang kelulusan operasi meskipun projek ini telah mengalami kelewatan.
"Pihak kontraktor akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi memastikan semua keperluan teknikal dan keselamatan dipatuhi sebelum perkhidmatan dibenarkan beroperasi," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebolehpercayaan perkhidmatan LRT sedia ada, Anthony menjelaskan, perbezaan prestasi antara laluan berpunca daripada tahap naik taraf sistem yang berbeza.
Menurutnya, Laluan Ampang telah menerima naik taraf lebih awal manakala Laluan Kajang masih dalam proses penambahbaikan sistem isyarat, dengan fasa kedua dijangka siap menjelang akhir tahun ini.