Dua sindiket edar dadah tumpas

Iklan
Ramli menunjukkan bungkusan makanan yang diisi dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dalam empat siri serbuan 'Ops Nutcracker' sejak 1 Julai hingga semalam di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Ramli Din berkata, pihaknya memberkas 14 individu termasuk dua pegawai polis berpangkat Asisten Superitendan dan Sub Inspektor yang disyaki bersekongkol dengan sindiket itu.

Iklan
Iklan

"Kita turut merampas sebanyak 182 kilogram pelbagai jenis dadah antaranya erimin 5, syabu dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM10 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Ramli berkata, hasil soal siasat, turut membongkar makmal dadah di kawasan pendalaman di Batang Kali, Selangor pada jam 7 malam, 3 Julai lalu.

Iklan

"Kita merampas pelbagai jenis bahan kimia dan 13 mesin pemprosesan pil erimin 5.

"Makmal ini mampu menghasilkan 70,000 biji pil erimin 5 dalam satu masa yang bernilai RM 1juta," katanya.

Iklan

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini adalah ahli sindiket menyewa hotel mewah di sekitar Kuala Lumpur untuk membungkus semula dadah.

"Mereka akan memasukkan dadah di dalam kotak makanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa di lapangan terbang, sebelum ia diseludup ke Brunei dan Indonesia.

"Sindiket ini telah membuat penghantaran sebanyak 28 kali, setiap penghantaran dadah itu sindiket menggunakan satu hingga tiga keldai dadah," katanya.

Menurutnya, dua anggota polis yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Manakala 12 individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua yang ditahan berusia 26 hingga 58 tahun itu direman antara enam hingga tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.