Ladang sawit masuk air

Iklan

KUANTAN - Seramai 141 peserta di tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Tanjung Putus di sini, berdepan kerugian lebih 20 tan sebulan apabila pokok sawit yang di tanam mereka musnah sejak beberapa tahun lalu.

Rata-rata peserta mendakwa, masalah itu berlaku berpunca daripada sisa pembuangan air dari loji berhampiran menyebabkan kira-kira 12 hektar sawit yang di tanam ditakungi air.

Iklan
Iklan

Difahamkan terdapat satu saliran atau parit yang dibuat oleh pihak berkaitan bagi tujuan mengalirkan sisa pembuangan air terbabit sehingga ke Sungai Kuantan, namun ia tidak diselia sehingga mendatangkan kerugian besar kepada pihaknya.

Ketua RTK Tanjung Putus, Mat Amin Abd Rani, 67, berkata, keadaan itu telah menyebabkan tanah sawit yang dikendalikan olehnya bersama Koperasi Pembangunan Daerah Kuantan seluas 12 hektar musnah.

Iklan

Menurutnya, banyak pokok sawit mati dan pihaknya tidak dapat mengutip hasil pada setiap sebulan akibat masalah terbabit.

"Takungan air di ladang ini menyebabkan pokok sawit kami mati dan ada sebahagiannya lagi tidak dapat ambil hasilnya kerana tempat itu sukar untuk masuk kerana berlumpur serta berselut.

Iklan

"Jadi kami tak boleh lalu di kawasan itu, jadi lebih 20 tan kami hilang pendapatan setiap bulan sehingga kini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dia memberitahu, masalah ini sejak 10 tahun lalu, namun paling terjejas hasilnya sejak tiga tahun lalu, sehingga terpaksa membuat aduan kepada pihak berkaitan.

Jelasnya, pihaknya ada menghantar surat pada pihak berkenaan pada 29 September tahun lalu berhubung masalah itu, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.

"Kami telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (bekas MB) pada waktu itu, tetapi nampaknya tiada sebarang gerak kerja dibuat sehingga kini.

"Justeru, kami pun merasa kerugian yang amat besar, kalau perkara ini terus berlarutan terutamanya pada musim hujan limpahan air semakin melebar dan boleh menyebabkan kerugian lebih besar kepada pihak koperasi,” katanya.

Bimbang kerosakan bertambah

Setiausaha Koperasi Pembangunan Daerah Kuantan, Saidon Othman berkata, pihaknya bimbang, jika perkara ini berterusan ia boleh menambahkan lagi kerosakan tanaman sawit milik mereka.

Jelasnya, disebabkan itu pihaknya perlu bertindak agar tidak terus berdepan dengan kerugian akibat limpahan air di kawasan ladang yang dikendalikan oleh pihaknya.

"Setiap tahun ada peningkatan kawasan yang telah rosak, kalau tidak ada tindakan lebih banyak kerugian terpaksa kita tanggung.

"Bila dah jadi masalah sebegini ia beri kesan sebab keluaran buah sawit dari koperasi kami akan merosot,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Omar, 69, yang merupakan bendahari koperasi itu, mengakui kegagalan pihak berkaitan dalam menyelenggara sistem saliran ini penyebab kepada masalah tersebut

"Laluan (saliran) air adalah laluan asal pembuangan sisa air dari loji itu ke Sungai Kuantan, tapi masalah di sini ia tersekat dan air tidak dapat mengalir sampai ke Sungai seperti sepatutnya.

"Dalam hal ini kami harap supaya pihak berkenaan dapat mencuci kawasan takungan ini dengan segera kerana bimbang kerugian akan terus ditanggung pihaknya,” katanya.