Pesta Menjala 2.0: Hasil jala puluhan kilogram ikan dikongsi bersama

Iklan
Hafizul memaklumkan akan berkongsi rezeki tersebut dengan rakannya.

MARAN - Aktiviti menjala membuahkan hasil apabila peserta berjaya memperoleh puluhan kilogram (kg) ikan sungai pelbagai spesies pada Pesta menjala 2.0 Estet ikan Kuala Wau di sini pada Ahad.

Lebih bermakna, hasil tangkapan itu tidak dijual sebaliknya dikongsi bersama rakan, jiran dan keluarga.

Iklan
Iklan

Peserta, Hafizul Hamid, 41, berkata, dia memperoleh kira-kira 40 kilogram (kg) ikan sungai selepas menjalankan aktiviti menjala lebih dua jam.

Menurutnya, antara ikan yang diperoleh ialah patin dan tengalan selepas tiba di lokasi berkenaan sejak jam 11 malam pada Sabtu.

Iklan

"Hasil kami diperoleh bari ini akan kongsi bersama sebagai sedekah dan tidak dijual kepada sesiapa. Puas hati bila dapat agih dekat kawan-kawan untuk dinikmati bersama," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kuala Wau di sini pada Ahad.

Salah seorang peserta pesta tersebut sedang memasukkan pelbagai spesies ikan yang dinaikan. Foto Sinar Harian.

Iklan

Bagi Mohd Ilias Zulkifli, 37, penyertaan kali kedua dalam program itu memberikan pengalaman berbeza apabila memperoleh ikan bersaiz lebih baik berbanding sebelum ini.

Jelasnya, lebih 40 ekor ikan berjaya didaratkan selepas lebih sejam menjalankan aktiviti berkenaan.

“Ada ikan yang beratnya sekitar tiga hingga empat kilogram, manakala sebahagian lagi sekitar 2.5 kilogram.

"Jika dijual, hasil tangkapan itu dianggarkan bernilai lebih RM400, tapi saya memilih untuk memasaknya bersama keluarga,” ujarnya.

Seorang peserta menebar jalanya dengan sempurna ke dalam sungai sambil disaksikan peserta lain dalam acara menjala yang berlangsung di Kampung Kuala Wau, Maran. Foto Sinar Harian

Sementara itu, Abdul Rauf Wahid, 55, berkata, hasil tangkapan mula berkurangan selepas 10 pagi, namun dia tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

Kongsinya, tangkapan diperoleh terdiri daripada ikan tengalan selain dua ekor patin bersaiz besar.

“Pengalaman menjala hari ni seronoklah dan alhamdulillah masih ada rezeki bawa balik ikan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, lebih 1,500 peserta dari seluruh negara termasuk Sarawak menyertai pesta berkenaan.

Menurutnya, hampir tiga tan ikan berjaya ditangkap peserta sepanjang program itu dengan pelbagai berat dan saiz

"Kalau kita tengok tadi, ada ikan seberat tujuh hingga lapan kilogram. Jumlah yang sudah ditangkap hari ini pula hampir tiga tan.

"Banyak lagi ikan yang ada, insya-ALLAH bertan-tan lagi dan antara spesies yang terdapat di Estet Ikan Kuala Wau ialah patin, temoleh, toman, kerai, tengalan dan sebagainya.

"Seekor ikan patin seberat kira-kira 11 kilogram tidak ditangkap kerana disimpan untuk dijadikan induk," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Shahaniza memberitahu program berkenaan bukan sekadar pesta menangkap ikan, sebaliknya mewujudkan kesedaran terutama dalam kalangan generasi muda mengenai khazanah yang terdapat di Sungai Pahang.

"Ikan- ikan ini semua berasal dari Sungai Pahang yang dikumpulkan di Estet Ikan bagi tujuan pemeliharaan spesies ikan Sungai Pahang dan keduanya untuk pembenihan.

"Maknanya dijadikan induk untuk benih dan ia juga menjadi sumber ekonomi kepada penduduk Kuala Wau ini sendiri melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)," jelasnya.

Beliau menambah, Estet Ikan Kuala Wau mendapat pemantauan khusus daripada Jabatan Perikanan Negeri, Kerajaan Negeri serta Pejabat Tanah dan Daerah bagi memastikan ekosistem dan spesies ikan Sungai Pahang terus dipelihara.

Abdul Rauf menunjukkan hasil tangkapan yang diperolehi. Foto Sinar Harian

"Kita tidak mahu spesies-spesies pupus. Jadi Estet Ikan ini, benih-benih dikembangkan dan kita jadikan ikan-ikan ini induk.

"Akhirnya nanti kalau pihak Jabatan Perikanan, mereka akan bagi benih-benih ikan ini ke tempat-tempat lain pula," katanya.

Peserta redah air sungai demi memburu pelbagai spesies ikan sungai seperti patin dan tengalan dalam acara menjala. Foto Sinar Harian

Menyentuh mengenai penganjuran Pesta Menjala 3.0, Shahaniza berkata, Pesta Menjala tidak boleh dianjurkan setiap tahun kerana perlu memberi masa kepada ikan untuk membesar.