Tindakan tegas kerajaan Pahang terhadap pencerobohan tanah bukan tindas Orang Asli - Aktivis

Iklan
Mohd Shukri dan laporan Sinar Harian mengenai isu kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah, dan pelbagai tanaman kontan.

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah tidak seharusnya dianggap sebagai usaha menindas masyarakat Orang Asli, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan pematuhan terhadap undang-undang.

Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, tindakan tegas kerajaan Pahang terhadap pencerobohan tanah adalah wajar meskipun operasi penguatkuasaan di kawasan sekitar Tasek Bera baru-baru ini mencetuskan kekecohan.

Iklan
Iklan

“Dakwaan kononnya Kerajaan Pahang kejam dan zalim macam Israel adalah tidak berasas sama sekali, ini kerana ianya adalah berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecohan yang berlaku ketika operasi pihak berkuasa di sekitar Tasek Bera baru-baru ini.

Iklan

Pada 15 September lalu, polis menahan lima individu termasuk empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an kerana dipercayai menghalang penguat kuasa menjalankan tugas ketika operasi berkenaan.

Operasi kira-kira jam 10 pagi itu melibatkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah Bera serta Pasukan Gerakan Am (PGA) mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Iklan

Pada Jumaat, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali mendedahkan lebih 7,000 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang digazetkan di bawah Konvensyen Ramsar Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah, dan pelbagai tanaman kontan.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri menegaskan, masyarakat Orang Asli tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalang tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah.

“Orang asli dijadikan senjata untuk meraih simpati rakyat kononnya mereka dianiaya dan hak mereka dinafikan. Nama kerajaan diburuk-burukkan demi menghalalkan perbuatan mereka.

“Jika kerajaan zalim, sudah lama mereka tidak boleh mengaut hasil sedemikian rupa. Malah, kerajaan boleh tuntut ganti rugi atas kerugian hasil tanah yang telah mereka ceroboh tersebut sebenarnya.

“Maka fikir-fikirkanlah, usah terpedaya dengan momokan sebelah pihak sahaja,” ujarnya lagi

Dalam pada itu, Mohd Shukri memuji langkah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menubuhkan unit khas bagi memantau isu pencerobohan tanah di seluruh negeri.

“Kerajaan tidak boleh harapkan jabatan kerajaan sedia ada untuk mengambil tindakan, kerana inilah punca pencerobohan haram terus berleluasa dan dibiarkan sejak sekian lama.

“Mereka persoalkan pula syarikat yang dilantik oleh kerajaan, kononnya tiada pengalaman dan berbagai lagi alasan.

"Walhal, syarikat terbabit membayar cukai dan premium atas kawasan ladang sawit tapping-right yang mereka selamatkan,” katanya.

Beliau menambah, tindakan berkenaan turut memberi manfaat kepada kerajaan negeri menerusi peningkatan kutipan hasil.

“Kerajaan negeri dapat untung, hingga berjaya mencapai kutipan hasil mencecah RM1 billion sejak empat tahun kebelakangan ini.

“Inilah kejayaan dan faedahnya untuk rakyat, daripada terus dibiarkan tauke-tauke pergunakan orang asli untuk menceroboh, tanam sawit dan untuk masuk ke kantung mereka semata-mata,” katanya.