Penarik kereta didakwa peras ugut polis

Iklan
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas selesai pertuduhan kes terhadapnya.

KUALA KUBU BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang penarik kereta didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan peras ugut terhadap anggota polis.

Tertuduh Omar Abdul Latif, 41, bagaimanapun mengaku tidak salah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah melalui panggilan telefon terhadap Lans Koperal C Govindan di pekarangan Balai Polis Hulu Bernam Hulu Selangor pada 21 Julai tahun lalu, jam 10.46 malam.

Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 507 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai enam anak selain akan melantik peguam bagi kes berkenaan.

Iklan

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Julai depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.