KUALA LUMPUR – Penilaian pampasan tanah Enklaf Duta yang dikemukakan Semantan Estate Sdn Bhd (1952) didakwa terlalu tinggi susulan penggunaan rekod transaksi selepas tarikh pengambilan tanah pada 1956 serta perbandingan dengan lot banglo di Kenny Hill.
Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, Tan Tat Khuan, 40, berkata, kaedah penilaian yang digunakan penilai syarikat itu tidak tepat kerana bercanggah dengan peruntukan Akta Pengambilan Tanah.
Menurutnya, Jadual Pertama akta itu tidak membenarkan penggunaan bukti transaksi tanah selepas tarikh pengambilan pada 3 Disember 1956.
"Penilai plaintif turut menggunakan lot banglo di Kenny Hill, yang kini dikenali sebagai Bukit Tunku, sebagai perbandingan sedangkan tanah yang menjadi subjek pertikaian merupakan kawasan luas dengan potensi pembangunan.
"Faktor lain seperti akses dan kegunaan tanah juga tidak diambil kira dalam penilaian itu menyebabkan nilai ditetapkan terlalu tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi tunggal kerajaan selaku responden dalam perbicaraan tuntutan pampasan tanah seluas 106.542 hektar di Enklaf Duta, sebelum ini dikenali sebagai Jalan Duta di Mukim Batu, di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Tat Khuan berkata, penilaiannya hanya mengesyorkan pampasan berdasarkan nilai tanah, manakala tuntutan Semantan Estate merangkumi dua elemen iaitu nilai tanah dan pampasan akibat pengambilan tanah oleh kerajaan.
Menurut beliau, penilai plaintif menetapkan nilai tanah sebanyak RM1.5 juta berbanding RM875,000 berdasarkan penilaiannya.
Pada prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Azza Azmi mewakili kerajaan selaku responden, manakala Semantan Estate diwakili peguam, Ira Biswas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Roslan Mat Nor bersambung pada 16 Mac 2027.
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan dengan mendakwa tanah milik syarikat itu diceroboh secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan Semantan Estate masih mempunyai kepentingan berfaedah terhadap tanah berkenaan yang diambil secara tidak sah oleh kerajaan.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan, namun ditolak pada 18 Mei 2012.
Pada 21 November tahun sama, Mahkamah Persekutuan turut menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan tersebut.
Semantan Estate kemudiannya memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 bagi menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusan terdahulu.
Kerajaan turut mencadangkan penyelesaian bagi menamatkan pertikaian tanah berkenaan.
Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan syarikat berkenaan untuk menguatkuasakan perintah pada 2009.
Mahkamah turut mengarahkan kerajaan melaksanakan perintah berkenaan dalam tempoh tiga bulan selain membayar kos sebanyak RM50,000.
Antara perintah tersebut termasuk mendaftarkan pelikuidasi Semantan Estate sebagai pemilik berdaftar tanah tanpa sebarang bebanan, menyediakan dokumen perundangan berkaitan, mengeluarkan hak milik baharu serta menyerahkan semula pemilikan fizikal tanah kepada pemilik sah.
Bagaimanapun, pada 24 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Semantan Estate tidak berhak memperoleh hak milik tanah itu, sebaliknya layak menerima pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah ketika diambil alih kerajaan pada 1956.