Guru berdepan dua pertuduhan amang seksual pelajar Tingkatan Tiga

Iklan
Muhammad Faaris (kanan) hadir ke mahkamah ditemani isteri

SEREMBAN - Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Jelebu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga, Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Faaris Ar Radhi Mohamad Fadzil, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun lapan bulan, sedangkan tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru kepada pelajar berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik guru sekolah terbabit antara jam 10 malam hingga 10.30 malam pada 17 Ogos lalu.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama dengan menunjukkan video berunsur seksual menerusi media sosial menggunakan telefon bimbit di lokasi sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(e) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(e).

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh juga berdepan hukuman tambahan mengikut Seksyen 16 iaitu penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada dua kali.

Timbalan Pendakwa Raya, Noraziah Asmuni menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai, tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan penjawat awam berpendapatan RM2,500 dan hadir ke mahkamah dengan jaminan polis.

Beliau turut memaklumkan isteri tertuduh hadir sebagai penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 22 Disember depan.