SEREMBAN - Seorang pekerja grafik di sebuah kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal dan pemilikan bahan penganiayaan seksual seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Tertuduh, Hisbani Hairizal Shamsul Bahari, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar selepas semua pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan membabitkan kontak fizikal bagi maksud seksual tanpa persetubuhan terhadap mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan Pinggiran Bayu, Mantin, Nilai, kira-kira jam 11 malam pada 17 November lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh disebat.
Mengikut dua lagi pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk gambar serta bahan pornografi dalam bentuk video membabitkan mangsa sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta beberapa syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam Nurhusna Mohd Tharimazi memaklumkan tertuduh sudah berkahwin dan bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM2,300, manakala isterinya hanya bekerja secara kontrak.
Katanya, tertuduh turut menghidap penyakit darah tinggi dan kolesterol selain perlu menanggung ibu bapanya yang tidak bekerja.
Sehubungan itu, pihaknya memohon jaminan minimum bagi semua pertuduhan dan memaklumkan tertuduh bersedia mematuhi segala syarat tambahan ditetapkan mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh atau wakilnya dilarang mengganggu mangsa.
Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes.