Ubah suai rumah lama secara percuma

Iklan
Haniza Mohamed Talha

AMPANG - Kerajaan negeri sedang dalam rangka mempromosi program pembangunan semula kawasan-kawasan perumahan lama di beberapa daerah di negeri ini termasuk di Ampang Jaya, Petaling Jaya, Klang dan Shah Alam.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, kawasan perumahan yang dilihat berpotensi untuk pembangunan semula adalah kediaman dua bilik dan satu bilik air.

Iklan
Iklan

Katanya, untuk menepati standard perumahan hari ini, setiap unit rumah perlu memiliki sekurang-kurangnya tiga bilik tidak termasuk bilir air.

"Saya juga telah didatangi oleh pemaju yang berminat untuk melaksanakan projek pembangunan semula ini, mereka dah buat bancian awal di beberapa kawasan perumahan dan respon yang diterima adalah positif.

Iklan

"Jika pemilik bersetuju, kediaman yang lebih luas secara percuma sebagai tukaran kepada unit rumah lama," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke sesi Dialog Bersama Penduduk Rumah Kos Rendah Taman Pandan Jaya, hari ini.

Iklan

Dalam pada itu, Haniza turut memaklumkan Taman Pandan Jaya menjadi salah satu kawasan perumahan yang bakal dibangunkan semula jika pihak pemaju dan kesemua pemilik unit rumah mencapai persetujuan bersama.

"Di sini ada 40 blok (1920 unit kediaman), jadi pembangunan itu mungkin akan berlaku secara berfasa dan pembangunan boleh dimulakan tahun ini. Saya belum lihat lagi pelan secara terperinci namun itu antara perkara awal yang dimaklumkan kepada saya.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada faktor atau syarat di mana kesemua pemilik kediaman perlu bersetuju untuk pembangunan ini barulah ia boleh dimulakan kerana ia melibatkan pembangunan secara keseluruhan," katanya.

Selain itu, Haniza berkata, kerajaan negeri hanya akan menjadi penghubung dan pemudah cara tanpa mengeluarkan sebarang peruntukan bagi projek pembangunan semula, sebaliknya hanya terlibat dari segi dasar pembangunan.

"Tiada tender secara terbuka sebab ia bergantung kepada persetujuan pemilik unit, sebab ini bukan milik kerajaan negeri, unit-unit ini sudah ada pemiliknya. Jadi seperti yang saya katakan tadi, pemaju perlu mendapatkan persetujuan kesemua pemilik di sini sebelum boleh memulakan sebarang kerja pembangunan semula.

"Kalau dia (pemaju) menggunakan kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), tempoh pembangunan itu akan lebih singkat, mereka boleh siapkan dalam masa dua tahun. Dengan unit yang banyak, kaedah IBS akan menjadi lebih jimat dan proses pembangunan lebih dapat dilakukan lebih cepat dan selamat," katanya.