Pakar kesihatan kurang setuju solat berjemaah di masjid

Iklan
Tukang cuci Noormulianawati Md Salleh, 40, mencuci lantai masjid. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Pakar kesihatan kurang bersetuju dengan keputusan membenarkan masjid dan surau terpilih bagi melaksanakan solat Jumaat, solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri termasuklah solat berjemaah.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, ini kerana jangkitan koronavirus (Covid-19) di Malaysia belum mencapai tahap dapat dikawal dengan baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah harian kes positif Covid-19 tidak menggambarkan keadaan sebenar jangkitan tersebut kerana masih ramai rakyat di negara ini belum disaring.

"Bagi orang Islam pastinya keputusan (membenarkan solat berjemaah di masjid) dialu-alukan tetapi disebabkan wabak ini masih lagi di peringkat yang belum terkawal dengan baik ia kurang sesuai. Jika kita perhatikan jumlah kes harian juga menunjukkan ada masa berlaku peningkatan dan penurunan setiap hari.

Iklan

"Kita kena faham kes baharu ini juga tidak menggambarkan keadaan sebenar jangkitan Covid-19 kerana masih ramai belum disaring dan jika saringan dibuat ke atas semua penduduk Malaysia, sudah pasti jumlah kes akan bertambah," katanya kepada Sinar Harian.

Zubaidi berkata, pada masa ini kerajaan hanya menyaring kes-kes berisiko tinggi seperti mereka yang pulang dari luar negara dan kontak kepada mereka yang positif Covid-19.

Iklan

"Pada pandangan saya, mereka yang muda dan mempunyai antibodi kuat tidak akan menunjukkan simptom-simptom jangkitan Covid-19. Mereka tidak seperti yang berusia dan mempunyai penyakit kronik.

"Kerisauan saya ialah apabila golongan muda ini pulang ke kampung dan kemudiannya menyebarkan kepada ibu bapa mereka yang berusia. Ini akan menyebabkan kebimbangan tidak terkawal," katanya.

Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri di Wilayah Persekutuan mulai esok.

Beliau berkata, untuk lain-lain solat secara berjemaah di masjid, surau Jumaat dan surau terpilih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada 15 Mei 2020.

Katanya, bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah tidak kurang daripada tiga orang tidak termasuk imam dan tidak lebih dari 30 jemaah.

Zubaidi berkata, sekiranya kerajaan serius membenarkan solat berjemaah di masjid, prosedur operasi standard (SOP) mengenainya perlu jelas dan difahami pihak terlibat.

"Selain daripada pentingnya SOP, penguatkuasaan mengenainya juga perlu diutamakan. Sebagai contoh setiap orang yang masuk ke masjid perlu memastikan dirinya mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi namun siapa yang nak ditempatkan di masjid bagi memastikan SOP ini diikuti dengan baik oleh semua orang.

"Sebab itu jika kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara atau dasar, ia perlu melalui proses dan perbincangan terperinci. Kita tidak mahu apabila dah laksanakan kemudian buat pusingan U. Kalau boleh buat seperti SOP di pasar raya di mana ada penguatkuasaan," katanya.

Jelasnya, beliau bukan berniat mahu menghalang orang Islam daripada melaksanakan solat berjemaah di masjid tetapi tidak mahu rumah ALLAH itu menjadi fitnah sekiranya berlaku penularan kes Covid-19 dalam kalangan jemaah.

Beliau turut mencadangkan supaya setiap jemaah yang ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah membawa sejadah sendiri bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

"Jika bukan sejadah, boleh gunakan apa sahaja sebagai alas untuk solat dan kemudiannya ia dibersihkan apabila pulang ke rumah," katanya.