RAUB – Pengorbanan dan khidmat bakti wanita dalam menguruskan keluarga dan melaksanakan tanggungjawab harian diraikan menerusi penganjuran Karnival Pesona Wanita DUN Dong 2026 yang menghimpunkan hampir 700 peserta.
Exco Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, karnival tersebut diadakan sebagai penghargaan kepada golongan wanita yang banyak menyumbang tenaga dan masa dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Jadi karnival ini bagi menghargai sumbangan, pengorbanan, keringat, penat lelah, khidmat bakti wanita di Dondong ini.
“Hari ini adalah hari untuk mereka gembira, keluar daripada kebiasaan dan kita menghargai kesejahteraan hidup mereka.
"Bukan semata-mata sibuk dengan tugasan harian, tanggungjawab menjaga keluarga dan sebagainya. Hari ini kita bagi sisi bahagia dan raikan mereka,” katanya.
Karnival itu dianjurkan bersama Akademi Diyana dan Wanita DUN Dong dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dong menampilkan pelbagai pertandingan seperti hiasan sirih junjung dan hantaran coklat, Ratu Cantik Orang Asli, memasak patin tempoyak, Ratu Kebaya serta Pesona Wanita Pakaian Tradisional Malaysia.
Hadir sama, isteri kepada Fadzli, Datin Yasrin Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Diyana, Siti Diyana Mohd Amin.
Mengulas mengenai karnival, Fadzli memberitahu, program berkenaan turut menampilkan kelainan menerusi penyertaan wanita masyarakat Orang Asli bersama orang Melayu kampung.
“Malah pertandingan seperti ratu kebaya dan pakaian tradisional ni pun tak pernah dibuat atau dilaksanakan di Dondong ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, hampir 700 wanita menyertai karnival berkenaan dengan lebih 500 daripadanya mengambil bahagian dalam pertandingan termasuk acara memasak dan persembahan manakala selebihnya menyertai kategori ikon wanita.
Ujarnya, selain pertandingan, pemilihan ikon wanita Dong turut diadakan bagi empat kategori iaitu kebajikan, pendidikan, ibu mithali dan usahawan.
Fadzli menambah, penyertaan dalam program itu melibatkan pelbagai peringkat umur dengan kategori Ratu Kebaya terbuka kepada peserta berusia 15 hingga 40 tahun manakala pertandingan pakaian tradisional disertai mereka yang berusia lebih 40 tahun.
“Jadi semua peringkat umur menyertai. Anak-anak pun boleh datang tengok ibu dia perform hari ini,” jelasnya.
Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila karnival itu turut menarik kehadiran wanita dari seluruh daerah Raub dan bukan hanya penduduk Dong.
“Jadi saya tengok dapat sambutan yang cukup baik daripada wanita dari seluruh daerah Raub sebenarnya, bukan hanya di Dong sahaja.
"Ramai yang hadir datang menyaksikan sendiri keunikan Karnival Pesona Wanita Dondong yang pertama kali dianjurkan di Dondong ni,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fadzli berkata, karnival berkenaan akan diteruskan pada tahun depan dengan persiapan lebih rapi serta penglibatan lebih ramai penaja.