Empat rumah pekerja kilang sawit, lima kenderaan musnah terbakar

Iklan
Antara rumah yang musnah dalam kebakaran membabitkan empat rumah pekerja di Perumahan Kilang Sawit Kechau 6. - FOTO: Bomba Pahang.

KUANTAN – Seramai 11 penghuni terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan deretan empat rumah pekerja kilang sawit di Perumahan Kilang Sawit Kechau 6, Kuala Lipis pada Jumaat.

Kebakaran itu turut memusnahkan lima kenderaan milik penghuni sebuah daripada rumah berkenaan, membabitkan sebuah Honda Jazz, sebuah Proton Wira, dua motosikal Kawasaki RR dan sebuah motosikal Avantiz.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.20 petang sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran melibatkan deretan rumah teres empat pintu jenis separuh kekal milik Kilang Sawit Kechau dengan setiap rumah berukuran 20 x 30 kaki.

Iklan

“Tiga daripada empat rumah terbabit mempunyai penghuni manakala sebuah lagi kosong.

Anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran rumah pekerja di Perumahan Kilang Sawit Kechau 6 di Kuala Lipis pada Jumaat. - FOTO: Bomba Pahang.

Iklan

“Dua rumah musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kemusnahan masing-masing 80 dan 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua 11 penghuni daripada tiga rumah yang didiami itu terselamat termasuk seorang ketua keluarga yang ketika kejadian sedang bekerja.

Menurutnya, anggota bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu mula dan satu aliran hos pancutan nozel air daripada tangki pam jentera.

"Operasi turut mendapat bantuan lima anggota bersama sebuah jentera CFRT dari BBP Sungai Koyan yang tiba jam 4.26 petang bagi membantu kerja pemadaman dan overhaul.

"Kebakaran berjaya dikawal jam 4 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 5.36 petang," katanya.