Harraz jalani 30 sesi radioterapi lawan kanser

Iklan
Harraz (tengah) menderita kanser pangkal otak sejak Februari lalu. Foto Pembaca

TEMERLOH – Kehidupan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berubah selepas disahkan menghidap kanser pangkal otak atau diffuse intrinsic pontine glioma (DIPG) sejak hujung Februari lalu.

Keadaan itu menyebabkan Harraz Shah Haffis kini memerlukan bantuan ibunya untuk menguruskan diri selepas keupayaannya melakukan aktiviti harian terjejas akibat penyakit berkenaan.

Iklan
Iklan

Ibunya, Sharolniza Md Aun, 35, berkata, semuanya bermula apabila anak sulung daripada dua beradik itu mengadu sakit kepala sebelum mengalami beberapa simptom lain.

“Sebelum ini, anak saya sihat dan tiada masalah kesihatan. Namun, keadaannya mula berubah apabila dia tidak boleh mengimbangkan badan ketika berjalan pada Februari lalu.

Iklan

“Bukan itu sahaja, matanya juga tidak dapat digerakkan ke kiri dan ke kanan,” katanya di sini.

Menurutnya, Harraz kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh sebelum disahkan menghidap kanser pangkal otak dan dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah (IIUM), Kuantan serta Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Iklan

“Bila dapat tahu anak hidap kanser, keluarga sedih sangat, tetapi apa-apa pun kami perlu reda dengan semuanya.

Sharolniza yang berasal daripada suku kaum Jakun berkata, anaknya sudah menjalani 30 sesi radioterapi, namun berdepan kesukaran untuk makan sepanjang tempoh rawatan akibat mengalami banyak ulser di dalam mulut.

“Separuh badan anak saya semakin lemah dan dia juga masih tidak mampu menguruskan diri sendiri.

“Dia tidak dapat ke sekolah seperti kanak-kanak lain kerana proses pemulihannya memerlukan masa yang panjang dan peluang untuk pulih sepenuhnya agak sukar,” luahnya yang menetap di Kampung Sungai Leleh, Lanchang.

Sharolniza berkata, cabaran paling besar ialah menguruskan perjalanan ulang-alik ke Kuala Lumpur sepanjang 30 hari bagi membolehkan anaknya menjalani radioterapi.

Menurutnya, susulan keadaan itu, suaminya, Haffis Mat, 41, yang sebelum ini bekerja di ladang turut terpaksa berhenti kerja dan kini melakukan kerja kampung bagi membantu keluarga.

“Kami menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga, khususnya bagi urusan perjalanan mendapatkan rawatan Harraz di Kuala Lumpur, boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 1560 2047 8078 atas nama Haffis Mat.