2 kereta angkut 11 PATI terbabas langgar pokok, transporter positif dadah

Iklan
Sebuah lagi Proton Preve berwarna perak dikesan menggunakan laluan sama sebelum pemandunya turut bertindak melarikan diri sehingga terbabas dan melanggar pokok. Foto: PGA

TUMPAT – Ejen penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyediakan kenderaan kepada transporter untuk menjalankan kegiatan berkenaan selain membayar upah RM80 sehingga RM150 bagi seorang migran setiap kali penghantaran

Modus operandi itu terbongkar selepas dua lelaki tempatan ditahan dalam dua kejadian berasingan apabila kereta dipandu mereka terbabas ketika cuba meloloskan diri daripada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Kok Serai di sini pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 27 tahun itu mengaku baru terbabit dalam kegiatan berkenaan sejak November lalu dan sudah melakukan penghantaran sebanyak tiga kali.

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam operasi berasingan kira-kira 15 minit antara satu sama lain, bermula jam 6.15 pagi.

Iklan

Menurut beliau, dalam kejadian pertama, anggota Task Force Batalion 7 PGA, Kuantan yang dibantu Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor mengesan sebuah Proton Preve berwarna emas dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekori kenderaan itu.

"Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan, pemandunya bertindak mengundur secara berbahaya sebelum memecut laju untuk melarikan diri, namun terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Iklan

Tidak perlu memiliki kereta sendiri untuk menjadi transporter PATI, sebaliknya ejen penyeludupan menyediakan kenderaan selain membayar upah RM80 sehingga RM150 bagi seorang PATI untuk setiap penghantaran. Foto: PGA

Beliau memberitahu, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan enam PATI terdiri daripada dua lelaki warga India serta empat warga Myanmar, termasuk dua wanita, yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Tambahnya, dalam kejadian kedua kira-kira jam 6.30 pagi, sebuah lagi Proton Preve berwarna perak dikesan menggunakan laluan sama sebelum pemandunya turut bertindak melarikan diri sehingga terbabas dan melanggar pokok.

Kata beliau, pemeriksaan menemukan lima PATI terdiri daripada dua lelaki warga India, dua lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Myanmar.

Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat awal mendapati suspek pertama mengaku menerima bayaran RM80 bagi setiap PATI yang dibawa, manakala suspek kedua dibayar RM150 bagi setiap penghantaran.

"Kedua-dua mereka menggunakan kereta yang disediakan oleh ejen penyeludupan bagi menjalankan tugas membawa PATI dari kawasan sempadan ke lokasi transit.

"Mereka melakukan pekerjaan itu secara sambilan, manakala urusan mengambil dan menghantar PATI ditentukan oleh ejen masing-masing," katanya.

Menurut beliau, suspek pertama dipercayai menerima arahan daripada seorang lelaki warga Thailand yang dikenali sebagai Wan Kucing, dengan bayaran dibuat melalui pindahan wang menggunakan kod QR selepas penghantaran selesai.

Ujarnya, suspek kedua pula mengaku menerima arahan daripada seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Hasyim yang tinggal di Kok Lanas, Kelantan dengan bayaran secara tunai.

"Kedua-dua suspek turut memaklumkan PATI berkenaan akan dihantar ke hotel berasingan di Kota Bharu sebelum diserahkan kepada transporter lain untuk dibawa ke ibu negara.

"Kesemua PATI dipercayai memasuki negara ini melalui pangkalan haram di Tanjung, Tumpat menggunakan khidmat ejen dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM6,000 seorang.

"Mereka juga dijanjikan pekerjaan di ibu negara," katanya.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek tempatan turut menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif methamphetamine.

Ujarnya, dalam operasi itu pihaknya merampas dua buah Proton Preve serta 13 telefon bimbit dengan anggaran nilai keseluruhan RM63,000.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.