SUBANG JAYA – Kilang peralatan perubatan dan perabot antara empat premis yang musnah dalam kebakaran di kawasan Ultramine Park, Jalan Subang 4 di sini, malam Sabtu.
Dalam kejadian itu, kebakaran melibatkan empat buah kilang yang masing-masing mempunyai keluasan kira-kira 72 x 32 kaki persegi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 11.10 malam.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.56 malam sebelum anggota meneruskan kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan menyeluruh (overhaul).
"Dua lagi kilang turut terjejas apabila bahagian bumbung premis berkenaan terbakar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, pemeriksaan mendapati kilang perabot dan kilang peralatan perubatan masing-masing mengalami kemusnahan kira-kira 95 peratus.
"Dua lagi premis yang belum dikenal pasti mengalami kemusnahan masing-masing 20 dan 10 peratus.
"Seramai 31 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, Damansara, Shah Alam dan Cyberjaya," katanya.
Jelasnya, operasi turut membabitkan penggunaan beberapa jentera termasuk jentera bomba, lori tangki air, kenderaan penyelamat dan ambulans EMRS.
"Setakat ini anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.