PENDANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditungganginya terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 71.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, pada petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah motosikal yang terbabas dan terbakar pada jam 6 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang beralamat di Taman Setia di sini dalam perjalanan dari Pendang menghala ke Gurun dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.
"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Pendang," katanya pada Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Katanya, motosikal Yamaha RXZ terbabit mengalami kebakaran keseluruhan bahagian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 5.56 petang.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang digerakkan ke lokasi bersama jentera CFRT dan EMRS.
Menurut kenyataan itu, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati motosikal berkenaan terbakar dipercayai akibat kemalangan terbabas di bahu jalan.
Operasi pemadaman berjaya mengawal kebakaran pada jam 6.20 petang sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.02 malam dengan kira-kira 80 peratus motosikal terbabit terbakar.