BANTING - Selepas kira-kira lima bulan penduduk Kampung Sungai Lang Tengah di sini 'terseksa' dengan kedegilan pihak pemaju yang terus menggunakan jalan kampung sebagai laluan lori lebih muatan, situasi itu memuncak dengan kemalangan sebuah kenderaan berat itu pada Sabtu.
Kemalangan kira-kira jam 3.30 pagi dipercayai berpunca kerana lori membawa muatan besi tersebut gagal melepasi selekoh laluan tersebut sebelum terbalik dan hampir kesemua bahagian kenderaan itu terperosok masuk ke dalam parit.
Biar pun tidak menyebabkan kemalangan jiwa, muatan ratusan batang besi itu berterabur di dalam parit hingga proses pengalihannya mengambil masa lebih 12 jam selain jalan terpaksa ditutup.
Sinar Harian dimaklumkan, laluan kenderaan berat itu sudah ditetapkan tanpa melalui jalan kampung.
Ketua Kampung Sungai Lang Tengah, Noor Azura Mohamed Nasir berkata, beliau bersama ketua kampung berhampiran, penduduk serta agensi penguat kuasa sudah membuat empat kali perjumpaan dengan pihak pemaju.
Menurutnya, perbincangan ini bagi mencapai kata muktamad agar tiada lagi laluan lori muatan berat itu melalui kampung.
"Kemudian, jadi pula kemalangan begini. Isu rumah orang kampung rosak dan retak pun belum selesai," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Noor Azura berkata, selain itu, beliau turut menerima surat bantahan mengenai isu tersebut dari tiga sekolah yang bimbang tentang keselamatan pelajar mereka.
Jelasnya, isu ini perlu diambil cakna dan bukan semata menahan lori, tetapi kebajikan dan keselamatan penduduk kampung perlu dijaga.
Bagi penduduk, Muhamad Saiful, 46, berkata, selepas kemalangan ini mungkin akan membuka mata banyak pihak.
"Apa yang kami kesan, lori-lori lebih muatan mula menggunakan jalan kampung di awal pagi bagi elak dikesan penduduk.
"Sebelum ini, ada juga kes kenderaan berat ini yang melanggar saluran paip tepi jalan, papan tanda serta landskap kampung," ujarnya.
Bagi Faiz Zulfadli Abd Fitri, 33, pula, isu kenderaan berat ini bukan sahaja merisaukan keselamatan penduduk kampung, tetapi keselamatan pelajar yang pergi dan pulang sekolah.
"Kami ditugaskan sebagai ahli jawatan kuasa kampung berjaga di simpang-simpang pada waktu malam memantau perkara ini untuk langkah keselamatan.
"Saya sangat harap pihak pemaju dapat memberi kerjasama dan memahami sensitiviti ini. Usah tunggu hingga jadi kemalangan yang serius baru hendak bertindak," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, tiada kemalangan jiwa, namun insiden menyebabkan pemandu lori tersebut cedera.
Tegasnya, siasatan dijalankan dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.