SHAH ALAM - Sarat hamil 35 minggu tidak menghalang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Siti Nur Aini Najihah Azauha, menghadiri istiadat konvokesyen bagi menerima ijazah Kepujian Kelas Pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88.
Lebih bermakna, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) dengan Kepujian dari Fakulti Sains Kemanusiaan berusia 24 tahun itu bakal menyambut kelahiran cahaya mata pertama yang dijangka pada Disember ini.
"Perasaan saya bercampur baur kerana dalam masa yang sama sedang menantikan dua detik penting dalam kehidupan, iaitu menerima ijazah dan menyambut kelahiran cahaya mata pertama.
Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu menjelaskan, kejayaan memperoleh PNGK 3.88 serta menerima Anugerah Dekan sepanjang empat tahun pengajian merupakan kepuasan peribadi selepas melalui pelbagai cabaran sebagai mahasiswa.
Mengimbas perjalanan sepanjang pengajian yang bermula pada 2022, Siti Nur Aini berkata, UPSI bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu, malah menemukannya dengan pasangan hidup yang juga rakan sekelas dalam program Pendidikan Geografi.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga ketika menjalani Latihan Mengajar pada semester kelapan sebelum disahkan hamil selepas menamatkan latihan berkenaan.
"Sokongan suami menjadi antara kekuatan utama untuk meneruskan pengajian, menguruskan tugasan serta melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar sepanjang tempoh kehamilan.
"Saya mengakui pernah mempertimbangkan untuk tidak menghadiri konvokesyen kerana keadaan kandungan yang semakin menghampiri tarikh bersalin.
"Saya berharap konvokesyen ini menjadi kenangan yang akan kami ceritakan kepada anak kami suatu hari nanti, bahawa ketika ibu menerima ijazah, dia juga berada bersama-sama ibu," ujarnya.