SHAH ALAM - Keadaan fizikal bukan penghalang buat graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian, Kulliyyah Kejuruteraan (KoE) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Nurain Rahim, 23, untuk berjaya meraih Anugerah Pencapaian Khas (Akademik) ‘Abdullah Ibn Umm Maktūm’ pada Majlis Konvokesyen UIAM kali ke-42.
Siti Nurain merupakan anak bongsu daripada tujuh adik-beradik dan merupakan seorang individu kurang upaya (OKU) kerdil tidak pernah merasakan keadaan fizikal membuatkan dirinya tersisih, apabila guru dan rakan-rakan melayani seperti pelajar normal sejak di bangku sekolah.
Anak kelahiran Jasin, Melaka itu juga aktif dalam aktiviti kokurikulum yang banyak memberi sumbangan untuk beliau membina keyakinan serta keberanian berinteraksi dengan orang lain.
Sepanjang pengajian di UIAM, Nurain berpeluang menyertai pertandingan ‘Global Team Based Innovation Project’ (G-TIP) pada tahun 2025 yang berlangsung dalam empat pusingan, termasuk di Korea Selatan dan Vietnam sebelum pasukannya dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama pertandingan tersebut.
Beliau turut menjalani latihan industri selama tiga bulan di Sunchon National University, Korea Selatan dan menyertai program pertukaran pelajar selama dua minggu di Shibaura Institute of Technology, Jepun.
"Saya tidak sangka dapat berpeluang tinggal dan melawat tiga negara berbeza dalam tempoh kurang dari setahun, dengan rezeki dan izin ALLAH.
"Alhamdulillah, ia merupakan salah satu doa yang saya tidak sangka akan dimakbulkan.
"Selain itu, antara sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan saya di UIAM adalah sokongan ibu bapa, Sakilah Puasa dan Rahim Ahmad," katanya.
Bagi Siti Nurain, pengiktirafan yang diterimanya turut membawa makna kepada keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya.
Beliau berharap kejayaan tersebut dapat membuktikan bahawa OKU juga mempunyai potensi untuk mencapai impian masing-masing.
"Buat semua pelajar, khususnya golongan OKU tidak menjadikan keadaan diri sebagai satu alasan untuk berhenti mencuba, sebaliknya berani mengambil peluang, meminta bantuan apabila diperlukan dan terus percaya kepada kemampuan sendiri," ujarnya.